Pertandingan Badminton Piala Muhibah erat silaturahim peserta – Hon Wai

Admin
WONG Hon Wai (empat dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada wakil pengurus pasukan sejurus merasmikan Kejohanan Badminton Piala Muhibah dekat Dewan Orang Ramai Pasar Tanjung Bungah baru-baru ini.

TANJUNG BUNGAH – Pertandingan Badminton Piala Muhibah yang julung kalinya dianjurkan diharap dapat mengeratkan silaturahim di antara peserta.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai ketika berucap berkata, beliau menyambut baik inisiatif penganjuran tersebut yang dilihat dapat mengeratkan hubungan antara Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), agensi-agensi kerajaan dan rakyat di kawasan Parlimen Bukit Bendera.

Tahun ini kita dapat penyertaan lapan pasukan iaitu dari agensi kerajaan dan komuniti setempat, justeru saya cadangkan agar program ini diadakan setiap tahun dengan harapan tahun depan kita dapat kumpulkan sebanyak 20 pasukan keseluruhannya.

Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pasukan-pasukan yang mengambil bahagian pada pertandingan ini antaranya Kelab Badminton Tanjung Tokong, pasukan dari MPKK, Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM), Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Timur Laut dan lain-lain,” ujar beliau ketika berucap merasmikan pertandingan tersebut di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, ADUN Kebun Bunga, Ong Khan Lee; ADUN Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit dan ahli-ahli MPKK setempat.

Program julung kali tersebut dianjurkan oleh Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Bendera bersama-sama MPKK Bukit Bendera bertempat di Dewan Orang Ramai Pasar Tanjung Bungah.

Difahamkan kejohanan tersebut berlangsung menggunakan format tiga regu dengan menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM500, trofi berserta pingat.

Teks & Gambar: WATAWA NATAF ZULKIFLI