GEORGE TOWN – Pertandingan Fotografi dan Videografi Batu Maung 2020 yang dianjurkan baru-baru ini telah mempromosikan secara langsung kawasan ekopelancongan dan ‘permata’ tersembunyi di KADUN (Kawasan Dewan Undangan Negeri) berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Dato’ Abdul Halim Hussein berkata, pertandingan tersebut dianjurkan bagi memberi peluang kepada peminat serta pencinta fotografi dan videografi untuk menyerlah bakat serta mengekspresikan keindahan Batu Maung sebagai kawasan pelancongan.
“Berdasarkan penyertaan yang memberangsangkan bagi kedua-duanya (fotografi dan videografi), tuntas kita bercadang untuk menjadikan pertandingan ini sebagai acara tahunan.
“Sebenarnya banyak permata keindahan tersembunyi yang boleh diterokai di KADUN Batu Maung khususnya seperti Sam Poh Tong Footprint Temple yang terletaknya tapak kaki gergasi dipercayai milik Gedembai, Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, keindahan panorama matahari naik dan terbenam, dapat melihat dengan lebih dekat pelepasan dan pendaratan kapal terbang serta juga bandar teknologi yang menempatkan kilang-kilang ternama dunia,” ujarnya yang juga Exco Perdagangan & Industri Dan Pembangunan Keusahawanan pada Majlis Penyampaian Anugerah Pertandingan Fotografi dan Videografi Batu Maung 2020 dekat Komtar sebentar tadi.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin hadir menyempurnakan majlis berkenaan.
Sherwynd Rylan Kessler dipilih sebagai pemenang tempat pertama bagi kategori videografi dengan membawa pulang wang tunai RM500, Ipad dan sijil penghargaan.
Manakala, Cheok Paik Ling dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori fotografi dan membawa pulang wang tunai RM500, jam berjenama Garmin dan sijil penghargaan.
Dalam perkembangan sama, Soon Hin ketika berucap memberitahu bahawa bagi memastikan kelestarian hab seni kreatif di Pulau Pinang, pihaknya menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi menjayakan hasrat tersebut.
Jelasnya, beliau percaya pertandingan seumpamanya mampu menjadi platform untuk mencungkil bakat dalam industri seni kreatif negeri.
“Batu Maung juga merupakan destinasi berpotensi untuk dibangunkan sebagai hab pelancongan dengan keunikan tempatan yang sedia ada.
“Kita (Kerajaan Negeri) akan jadikan Batu Maung sebagai salah satu destinasi pelancongan yang menarik dalam usaha memulihkan sektor pelancongan negeri dan menjadikan kawasan (Batu Maung) ini sebagai sebahagian pelan tindakan pelancongan 2021 nanti,” ujarnya.
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN