Pertandingan Halaman Rumah Bersih dan Indah terap konsep people centric selaras visi Penang2030 – Rozali

SR. Rozali Mohamud (duduk, tengah sekali) bergambar bersama penduduk-penduduk Kampung Permatang Nibong sejurus majlis penyampaian hadiah baru-baru ini.

SEBERANG JAYA – Dalam usaha memerangi wabak denggi dan menjaga kebersihan persekitaran, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mengambil inisiatif mengadakan Pertandingan Halaman Rumah Bersih dan Indah dekat Kampung Permatang Nibong bermula dari bulan Julai hingga Disember 2018.

Menurut Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud, pertandingan tersebut selaras dengan visi Penang2030 di mana MPSP yang merupakan sebuah organisasi berorientasikan rakyat atau people centric akan terus memperbanyakkan program seperti itu.

“Majlis berhasrat untuk kembangkan lagi program-program berkonsepkan people centric seperti ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam visi Penang2030 dengan memfokuskan kepada keluarga(family focus).

“Terjemahan family focus ini dalam bentuk local campaign melibatkan semua yang ada dalam sesebuah keluarga, misalnya kalau ada acara jalan kaki atau larian bayi pun boleh kita tolak sekali dengan stroller.

“Sebagai Yang di-Pertua saya telah menyuarakan hasrat ini dan semua Ahli Majlis pun telah bersetuju tentang konsep people centric untuk dilaksanakanpada tahun 2019 kelak,” ujar beliau pada sidang media sejurus tamat Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Halaman Rumah Bersih dan Indah di Permatang Nibong baru-baru ini.

Hadir sama, wakil dari kilang Flex selaku penaja hadiah, Nor Azmah Ayob dan jawatankuasa kariah penduduk Kampung Permatang Nibong.

Dalam pada itu, Rozali ketika berucap mengingatkan penduduk setempat agar menjaga kebersihan di dalam rumah berikutan kajian dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan, 55 peratus daripada kes denggi adalah bermula dari dalam rumah.

“15 peratus adalah dari halaman rumah dan bakinya baru kawasan-kawasan lain. “Jadi di sini jelas sebenarnya dalam rumah kita sendiri itu menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes,” ujarnya lanjut.

Melalui pertandingan tersebut para penduduk dididik dengan pelbagai program bermanfaat.


Sebanyak 56 penyertaan diterima. Penilaian dilakukan melalui beberapa faktor seperti pokok hiasan, penanaman sayur-sayuran, kebersihan halaman rumah, penggunaan bahan buangan secara optimum, penghasilan kompos sebagai baja tanaman dan pengasingan sisa di punca.

 

Teks & Gambar: WATAWA NATAF ZULKIFLI