Pertandingan kawad kaki bantu mantapkan disiplin pelajar

whatsapp image 2024 08 28 at 21.30.02

BAGAN LALANG – Menyedari peri pentingnya aktiviti kawad kaki dalam pembentukan jati diri pelajar, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) mengambil inisiatif menganjurkan Pertandingan Kawad Kaki Pasukan Badan Beruniform Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Pertandingan yang berlangsung selama dua hari pada 27 dan 28 Ogos 2024 dekat Pusat Kokurikulum Negeri Pulau Pinang itu menyaksikan penglibatan seramai 1,050 peserta yang mengambil bahagian.

Terdahulu, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin dilihat mendominasi pertandingan apabila berjaya menjulang tiga trofi kejuaraan daripada enam kategori yang dipertandingkan.

whatsapp image 2024 08 28 at 21.30.01

SMJK Jin Sin diumumkan sebagai johan dalam tiga kategori iaitu Pasukan Badan Beruniform agensi bukan kerajaan (NGO) Puteri dan agensi kerajaan (GO) Puteri serta GO Putera.

Sekolah Menengah Agama (SMA) Syeik Abdullah Fahim pula muncul sebagai pencabar terdekat apabila berjaya menggondol dua trofil selepas menjuarai kategori Kadet Remaja Sekolah (KRS) Puteri dan KRS Putera.

SMA Syeik Abdullah Fahim turut diumumkan sebagai pemenang bagi anugerah ketua platun terbaik bagi kategori GO Putera.

Selain itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Ling diumumkan sebagai johan bagi kategori NGO Putera serta dipilih sebagai ketua platun terbaik bagi kategori yang sama.

Pengarah Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Abdul Said Hussain ketika ditemui berkata kawad kaki merupakan asas disiplin kepada semua pasukan badan beruniform yang ada di sekolah.

whatsapp image 2024 08 28 at 21.30.01 (2)
Abdul Said Hussain.

Katanya, pertandingan yang diadakan setiap tahun itu dilihat dapat memantapkan lagi disiplin diri para pelajar, selaras dengan falsafah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melahirkan masyarakat bersepadu, bertatasusila dan terlatih.

“Pertandingan kawad kaki bermula pada peringkat daerah yang mana pasukan yang muncul sebagai johan bagi setiap daerah akan dipilih menyertai pertandingan kawad kaki pada peringkat negeri seperti yang berlangsung kini.

“Pertandingan ini membabitkan dua peringkat iaitu sekolah rendah dan sekolah menengah membabitkan lima daerah di negeri ini iaitu daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai Selatan (SPS), Barat Daya dan Timur Laut.

“Johan bagi setiap kategori pada peringkat negeri akan dipilih untuk mewakili Pulau Pinang bagi pertandingan kawad kaki peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada September ini,” katanya kepada Buletin Mutiara.

Abdul Said berkata, dua kategori tersebut pula dipecahkan lagi kepada GO yang terdiri daripada agensi kerajaan seperti Kadet Polis, Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM) serta Kadet Bomba.

“Satu lagi kategori adalah NGO seperti Persekutuan Pengakap, Angkatan Pertahanan Awam, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, St. John Ambulance, Kadet Putera dan sebagainya.

“Terakhir, kita ada kategori Kadet Remaja Sekolah (KRS) bagi peringkat sekolah menengah dan Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) bagi sekolah rendah yang merupakan pasukan badan beruniform di bawah KPM.

“KRS dan TKRS adalah teras kepada pertandingan ini kerana badan berunirofm ini perlu ada di semua sekolah di negera ini,” jelasnya lanjut.

whatsapp image 2024 08 28 at 21.30.00 (1) whatsapp image 2024 08 28 at 21.30.00

Di samping itu, beliau menjelaskan bahawa penyertaan dalam pasukan badan beruniform juga dapat meningkatkan kemahiran hidup dan daya kepimpinan yang dilihat sangat penting dalam membantu membentuk jati diri pelajar.

“Perkara ini penting untuk pelajar terutamanya selepas mereka menamatkan persekolahan dan ingin terlibat dalam dunia kepolisan atau ketenteraan.

“Pengetahuan asas yang mereka peroleh sepanjang penyertaan dalam badan unit beruniform di sekolah turut diambil kira semasa sesi temuduga kelak,” katanya.

Sebelum itu, seramai 400 peserta turut mengambil bahagian dalam Pertandingan Kawad Kaki Pasukan Badan Beruniform Sekolah Rendah (PBBSR) yang menyaksikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Sin dinobatkan sebagai johan bagi kategori PBBSR Puteri dan PBBSR Putera.

Bagi kategori TKRS Putera pula telah menobatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rambai sebagai johan pertandingan manakala SK Sungai Rambai pula johan bagi kategori TKRS Puteri.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD