Pertandingan kawad kaki pupuk semangat setia kawan berpasukan selain cungkil lebih banyak bakat pelajar PPKI

Admin

GEORGE TOWN – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Nibong 2 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tan Sri P. Ramlee muncul sebagai Johan Pertandingan Kawad Kaki Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Piala Ketua Menteri Pulau Pinang Peringkat Daerah Timur Laut Tahun 2019.

SMK Sungai Nibong 2 mengungguli Kategori Sekolah Menengah, manakala SK Tan Sri P. Ramlee (Kategori Sekolah Rendah).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika hadir merasmikan majlis penutup majlis berkaitan menzahirkan pujian kepada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) kerana menjadi jabatan pendidikan pertama dalam negara yang menganjurkan pertandingan tersebut dengan penyertaan pelajar-pelajar PPKI.

“Selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memartabatkan sistem pendidikan dengan visi ‘Pendidikan Untuk Semua’, pujian harus diberikan kepada JPNPP dan seluruh jawatankuasa terlibat yang telah mengambil satu langkah ke hadapan melalui penganjuran pertandingan ini.

“Melalui penganjuran sebegini, ia bukan sahaja dapat meningkatkan potensi diri para pelajar untuk bersaing di peringkat lebih tinggi, malah berupaya memupuk semangat perpaduan dan jati diri yang mantap dalam mendepani cabaran.

“Semangat setia kawan dan berpasukan dapat dizahirkan… di samping berupaya meningkat kemahiran moto para pelajar ini apabila saya difahamkan pada peringkat mulanya mereka agak takut dan gentar, tetapi setelah tiga bulan menjalani latihan, mereka berjaya lakukannya dengan cemerlang,” ujarnya pada Majlis Penutup Pertandingan Kawad Kaki PPKI Piala Ketua Menteri Pulau Pinang Peringkat DTL Tahun 2019 yang berlangsung di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Sektor Jaminan Kualiti JPNPP, Zulkafli Kamaruddin, Azizah Paijo (Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Timur Laut), Datuk H’ng Ban Choon (Pengarah Lot 33, Prangin Mall dan pegawai-pegawai pendidikan bagi Daerah DTL, Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai Selatan (SPS) dan Daerah Barat Daya (DBD).

Seramai 165 pelajar dari 14 sekolah DTL mengambil bahagian dalam penganjuran sulung berkaitan dengan membabitkan 10 sekolah rendah dan 4 (sekolah menengah).

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi berharap pertandingan tersebut dapat dikembangkan lagi di semua daerah negeri ini dengan harapan supaya lebih banyak bakat serta potensi pelajar PPKI dapat dicungkil terutamanya dalam pembentukan sahsiah para pelajar ‘istimewa’ berkaitan.

“Tahniah kepada para guru dan pengiring yang sabar dalam memberikan tunjuk ajar, malah tidak jemu berusaha mencungkil bakat serta potensi para pelajar ini… sesungguhnya kecemerlangan yang dikecapi ini adalah hasil pengorbanan masa, tenaga dan komitmen para guru dan pelajar yang gigih berusaha dengan segala keupayaan yang ada,” katanya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : LAW SUUN TING