Pertandingan kitar semula peringkat sekolah berjaya kumpul 600,000kg sisa sejak 2017

Admin
whatsapp image 2025 03 02 at 21.36.53

SEBERANG JAYA – Sebanyak 600,000 kilogram (kg) sisa buangan berjaya dikumpul melalui penganjuran pertandingan kitar semula peringkat sekolah sejak tahun 2017.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata, jumlah penyertaan bagi pertandingan kitar semula juga meningkat yang kini merangkumi sekolah menengah, sekolah rendah, tadika dan prasekolah.

Tahun ini saja, sebanyak 114,608.53kg barangan kitar semula berjaya dikumpul menjadikan jumlah keseluruhan melebihi 600,000kg sejak 2017.

“Penyertaan bagi tahun ini juga menunjukkan peningkatan yang signifikan, khususnya dalam kategori sekolah rendah yang melonjak kepada 34 penyertaan berbanding tahun sebelumnya,” ujarnya pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah 2024 dekat Menara MBSP di sini pada 28 Februari lalu.

Hadir sama, barisan Ahli Majlis bagi MBSP; Pengarah Kelestarian ASEAN Tetra Pak (Malaysia) Sdn. Bhd., Terrynz Tan serta ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan MBSP.

Dalam pada itu Baderul Amin memaklumkan bahawa penglibatan aktif para pelajar dalam pertandingan tersebut mencerminkan kesedaran dan keprihatinan mereka terhadap pemeliharaan alam sekitar.

“Ini membuktikan bahawa usaha kecil yang berterusan mampu membawa impak besar kepada komuniti dan persekitaran kita,” katanya.

Beliau turut berharap agar pertandingan tersebut terus mendapat sambutan daripada pelbagai peringkat institusi pendidikan pada tahun-tahun akan datang.

Institusi pendidikan merupakan titik tolak yang penting dalam membentuk masyarakat yang prihatin terhadap alam sekitar.

“Oleh itu, usaha menggalakkan kitar semula harus terus diperkasakan, bukan hanya di sekolah tetapi juga dalam kehidupan seharian.

“MBSP sentiasa komited dalam menyokong dan memperkasa usaha pemeliharaan alam sekitar, sejajar dengan misi kami untuk mewujudkan sebuah bandaraya rendah karbon yang berdaya huni,” ujarnya.

 

Oleh : NUR BATRISYIA IDRUS
Gambar : MBSP