SEBERANG JAYA – Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yok Eng dari Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan (SPS) dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi Pertandingan Mengumpul Kotak Minuman Sempena Tahun Baru Cina 2025 anjuran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Sekolah berkenaan berjaya membawa pulang wang tunai RM500 berserta sijil setelah mencatatkan kadar perkapita tertinggi iaitu 1.068 kilogram (kg), hasil kutipan sebanyak 205kg kotak minuman oleh 192 murid.
SEKOLAH-sekolah dari daerah Seberang Perai Selatan yang diumumkan sebagai pemenang – SJKC Kampung Jawi (naib johan), SJKC Yok Eng (johan) dan SJKC Boon Beng (ketiga).
Selain itu, turut membawa pulang wang tunai RM500 berserta sijil adalah SJKC Kuang Yu dari Penaga, Seberang Perai Utara (SPU) yang berjaya mengumpul 23kg melibatkan 29 murid dengan kadar perkapita 0.793kg.
Dari kiri; SJKC Nung Min, SJKC Kuang Yu dan SJKC Chin Hwa yang mengungguli penyertaan dari Seberang Perai Utara.
Manakala, bagi Seberang Perai Tengah (SPT) pula, SJKC Jit Sin B, Bukit Mertajam merekodkan pencapaian terbaik dengan jumlah kutipan sebanyak 142kg dan kadar perkapita 0.381kg, sekali gus mengungguli sekolah-sekolah lain di daerah tersebut.
Dari kiri; SJKC Perkampungan Berapit, SJKC Jit Sin B dan SJKC Kim Sen masing-masing menunjukkan plakad kemenangan serta sijil penyertaan usai majlis berkaitan di sini.
Terdahulu, ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah yang diadakan di Auditorium MBSP dekat sini, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata, pihak akan terus komited memperkasa budaya kitar semula dalam kalangan pelajar.
“Program sebegini bukan sahaja bersifat pertandingan, malah berperanan sebagai platform pendidikan yang membentuk kepekaan terhadap kelestarian alam sekitar.
“Inisiatif ini amat bertepatan dengan aspirasi bandar raya kita (Seberang Perai) untuk memperkasa budaya kitar semula dan mengukuhkan kesedaran sivik dalam kalangan pelajar,” ujar beliau pada majlis berkaitan di sini pada 17 April 2025.
Hadir sama, Setiausaha Bandaraya MBSP, Mohd. Ibrahim Md. Nor; Pengarah Perkhidmatan Perbandaran MBSP, Ahmad Zabri Mohamed Sarajudin serta Ahli-Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan berkenaan.
Mengulas lanjut, Baderul Amin memberitahu bahawa pihaknya menyediakan ganjaran berbentuk wang tunai dan sijil penyertaan, dengan jumlah keseluruhan hadiah mencecah RM4,050 bagi menghargai usaha para peserta.
“Inisiatif ini bukan sahaja menjadi pengiktirafan kepada pelajar, malah berfungsi sebagai pemangkin untuk meneruskan amalan kitar semula secara berterusan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan hasrat agar program seumpama ini diperluas kepada komuniti umum, organisasi dan sektor swasta, selari dengan pelaksanaan Dasar Pengasingan Sisa di Punca yang telah diperketatkan sejak Julai 2024.
“Pengurusan sisa pepejal bukan hanya terletak di bahu pihak berkuasa tempatan, tetapi memerlukan pendekatan holistik yang melibatkan semua lapisan masyarakat demi menjamin masa depan bumi yang lebih bersih dan lestari,” tambah beliau.
Difahamkan, sebanyak 21 SJKC dari seluruh Seberang Perai yang mewakili tiga daerah utama menyertai pertandingan yang berlangsung sepanjang bulan Januari hingga Februari 2025 lalu yang mana penilaian berdasarkan kutipan berat per kapita tertinggi.
Oleh : NUR BATRISYIA IDRUS
Gambar : MBSP