GEORGE TOWN – Orang ramai dipelawa untuk menyertai Pertandingan Menamakan Taman Kejiranan Lebuh Sungai Pinang 7, Bandar Sri Pinang yang dianjurkan oleh Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang (PSDKLPP).
Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata, pertandingan yang dianjurkan ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang mempunyai daya kreativiti tinggi dan berusia 12 tahun ke atas.
“Pertandingan ini juga sebagai salah satu ruang untuk orang ramai memanfaatkan masa terluang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini.
“Penyertaan adalah percuma dan peserta boleh menghantar lebih daripada satu penyertaan menamakan taman.
“Hanya seorang pemenang sahaja dipilih dan layak menerima hadiah utama iaitu wang tunai RM1,000 berserta sijil penyertaan.
“Bagi peserta yang tidak berjaya dipilih sebagai pemenang utama akan menerima sijil penyertaan,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Komtar tengah hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif PSDKLPP, Mohamed Akbar Mustapha.
Mengulas lanjut, Lip Chee memaklumkan bahawa kerja-kerja pembinaan kini sedang giat dilakukan dan telah mencapai tahap 65 peratus sejak majlis pecah tanah yang diadakan pada 4 Oktober 2020.
“Kerja-kerja pembinaan di atas tanah milik Kerajaan Negeri di Lot 576 dan Lot 552 Daerah Timur Laut itu, dijangka akan siap menjelang bulan Jun 2021 ini dan akan dirasmikan oleh Ketua Menteri,” katanya.
Dalam pada itu, Siew Khim ketika ditemui berkata, pengwujudan taman kejiranan tersebut adalah bertepatan dengan tema yang terkandung dalam Visi Penang2030 iaitu menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah ‘Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara’.
Saya berasa bangga dan begitu gembira apabila taman ini yang sangat simbolik dengan Sungai Pinang berjaya diwujudkan hasil penglibatan semua pihak termasuk penduduk di kawasan ini.
“(Dan) saya berharap apabila disempurnakan kelak, Taman Kejiranan Lebuh Sungai Pinang 7 ini bakal menjadi taman rekreasi dalam bandar untuk seisi keluarga,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Akbar selaku urus setia pertandingan turut berharap para peserta yang ingin menyertai pertandingan ini mengambil kira komponen-komponen yang ada pada Taman Kejiranan Lebuh Sungai Pinang 7 tersebut.
“Antara komponen terpenting adalah ‘tree bank’ yang mana bakal menjadi kawasan simpanan pokok nadir yang berasal dari Pulau Pinang.
“Selain itu, turut menjadi komponen taman kejiranan ini adalah taman teraputik; taman rama-rama; dataran terbuka, taman tema perak; astaka tema hutan dan dilengkapai dengan alatan senam luar serta tempat letak kereta.
Maka, saya harap peserta dapat menamakan taman tersebut dengan nama yang asli, tidak menciplak mana-mana sumber, menggambarkan elemen hijau, taman rekreasi dan sukan untuk seisi keluar, jelas dan mudah difahami semua.
“Keputusan panel penilai adalah muktamad dan menjadi hakmilik hak cipta Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” jelasnya.
Difahamkan, tempoh penyertaan dibuka mulai hari ini 19 Januari 2021 sehingga 22 Februari 2021 sebelum jam 5:00 petang.
Borang penyertaan boleh didapati di Kaunter Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Paras 3 KOMTAR atau melalui pautan Google Drive di https://drive.google.com/drive/folders/1NMH1ZYwxVrZ_isLBB2El9_75Jvqji7Go?usp=sharing.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : ALISSALA THIAN