GEORGE TOWN – Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee mempelawa individu kreatif untuk menyertai Pertandingan Mencipta Logo Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang (PSKLPP).
Menurut Lip Chee, penyertaan terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang berumur 12 tahun ke atas.
“Penyertaan adalah percuma, setiap peserta boleh menghantar lebih dari satu logo ciptaan bersama-sama boring penyertaan.
“Kesemua ciptaan logo ini hendaklah asli dan ia perlu dikemukakan dalam bentuk soft copy (CD) dan hard copy.
“Hanya satu logo akan dipilih sebagai pemenang dan pemenang bakal membawa pulang RM1,000 berserta sijil penghargaan,” ujarnya pada satu media di sini sebentar tadi.
Penyertaan dibuka secara rasmi bermula 4 Februari dan akan tamat pada 24 Februari ini.
Hadir sama, ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N Rayer dan Ketua Pegawai Ekskutif PSKLPP, Mohamed Akbar Mustapha.
Borang penyertaan boleh diperolehi di Kaunter Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Aras Tiga KOMTAR.
Penyertaan yang lengkap hendaklah dikemukakan kepada Urusetia Pertandingan Mencipta Logo Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang, Pejabat YB Soon Lip Chee, Tingkat 53, KOMTAR, 10503, Pulau Pinang.
Bagi aspek penilain, Lip Chee yang juga merupakan ADUN Bagan Jermal memaklumkan bahawa semua penyertaan tertakluk kepada keputusan oleh Ahli Panel Penilai dan sebarang penyertaan berhak dibatalkan (penyertaan) sekiranya didapati tidak mematuhi mana-mana syarat yang dinyatakan.
“Panel Penilai berhak mengubah suai dan meminda reka bentuk logo penyertaan (sekiranya perlu) dan logo yang terpilih akan diguna pakai serta menjadi Hak Cipta Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya lagi.
Bagi mendapatkan keterangan lanjut, sila hubungi talian, 04-261 9012.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD