Oleh : ZULIANA AZIZ
KEBUN BUNGA – Pertandingan Menembak Piala TYT 2012 yang berlangsung baru-baru ini disambut meriah dengan kehadiran Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Abdul Rahman Abbas diiringi isteri, Toh Puan Hajah Majimor Shariff.
Penganjuran kali ketiga tersebut adalah oleh Kelab Menembak Pulau Pinang bersama Majlis Sukan Pulau Pinang.
“Sesungguhnya, melalui pertandingan yang diadakan ini dapat menyediakan satu peluang baik kepada para penembak untuk menikmati sukan menembak dengan semangat kental dalam kalangan rakan-rakan,”
ujar Pengerusi Kelab Menembak Pulau Pinang, Datuk Dr. Kenny Ong dalam ucapan perasmian beliau di sini
baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau juga menyatakan rasa kesal dengan sesetengah badan bukan kerajaan (NGO) yang meminta mereka untuk memindahkan kelab berkenaan ke lokasi lain dengan alasan ia tidak sesuai berada di kawasan Kebun Bunga.
Kelab Menembak Pulau Pinang telah ditubuhkan 58 tahun lalu iaitu pada tahun 1954 dan merupakan antara Kelab Menembak tertua di Malaysia.
Ia juga antara beberapa kelab menembak lain yang dibina di kawasan taman dan di kawasan bandar.
Dalam pada itu, menurut Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Lydia Ong Kok Fooi, dengan adanya kemudahan dan sokongan daripada Kelab Menembak Pulau Pinang, pertandingan yang diadakan saban tahun telah banyak membantu atlet menembak negeri ini berhubung persediaan mereka untuk menghadapi kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA).