Pertandingan Penang Fingerstyle Guitar galak minat belia dalam muzik

TANJUNG BUNGAH – Panganjuran tahun kedua Pertandingan Penang Fingerstyle Guitar Competition 2015 di sini baru-baru ini berjaya menampilkan hampir 30 peserta daripada pelbagai latar belakang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga, Teh Yee Cheu berkata, penganjuran tersebut masih mengekalkan matlamat sama iaitu menyediakan ruang serta peluang kepada para pemuzik dalam kalangan anak-anak muda menyerlahkan bakat masing-masing.

“Ini adalah salah satu cara bagi menggalakkan minat dan cinta golongan belia terhadap muzik yang mana mereka memperoleh peluang lebih luas, variasi serta platform untuk menunjukkan bakat masingmasing,’’ katanya pada penganjuran berkaitan di sini baru-baru ini.

Pada pertandingan berkaitan, setiap peserta dikehendaki mendendangkan alunan petikan gitar secara fingerstyle iaitu satu teknik yang mana gitaris bermain bass, chord dan melodi secara serentak.

Pertandingan tersebut diadili tiga juri hakim yang juga merupakan gitaris terkenal iaitu Sheikh Hady Basmeih atau lebih dikenali sebagai Afro Hady, George Boesger Sr. dan Leon Thum.