GEORGE TOWN – Permohonan Central Muslim Society (CMS) untuk mendapatkan peruntukan bagi menaik taraf Community Digital Academy (CDA) Resource Center akan dipertimbangkan, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota berkata bahawa ia adalah sebagai tanda penghargaan kepada usaha dan sumbangan CMS dalam menyediakan bakat berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri di negeri ini pada masa akan datang.
“Banyak kemajuan telah dicapai oleh CMS dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Justeru, sebagai ADUN kawasan dan juga Ketua Menteri, saya sedia untuk menyalurkan sebahagian peruntukan yang diperlukan oleh CMS dalam rancangan untuk mengembangkan lagi fungsi CDA Resource Center,” katanya ketika menerima kunjungan hormat delegasi CMS dekat Komtar di sini sebentar tadi.
Pertemuan kira-kira 30 minit itu diketuai Presiden CMS, Mohamed Hasan Othuman, Abdul Jalil Kassim Shahul Hameed (Timbalan Presiden CMS) dan beberapa barisan kepimpinan tertinggi yang lain.
Terdahulu, CMS membentangkan mengenai agenda, pencapaian serta rancangan persatuan itu bagi tahun 2024 hingga 2028 yang yang menyasarkan peningkatan bilangan pelajar menerima latihan di CDA Resource Center kepada 720 pelajar pada 2028 daripada 240 pelajar (2024).
Mereka berkata, fokus utama CMS dalam tempoh lima tahun akan datang adalah merangkumi program robotik, drone dan Makerspace, pengukuhan kerjasama dengan sekolah dan industri serta menaik taraf CDA Resource Center.
Bagi merealisasikan fokus tersebut, CMS memerlukan komitmen kewangan berjumlah kira-kira RM200,000 yang merangkumi kos bagi penyediaan peralatan dan fasiliti.
Pada Mac tahun lepas, CMS telah menubuhkan CDA Resource Center yang menjadi pelengkap kepada usaha Kerajaan Negeri dalam mempromosikan pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD