Pertimbang wujudkan perundangan khusus berkaitan asrama untuk pekerja industri – Kon Yeow

BUKIT TAMBUN – Saiz kawasan perindustrian yang kian pesat membangun di Pulau Pinang sepatutnya menuntut kepada mewujudkan suatu perundangan khusus bagi majikan menyediakan penempatan seperti asrama pekerja sebagaimana Westlife Accommodation dekat Bukit Minyak, kelak.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa dengan adanya kemudahan asrama pekerja khusus terutama untuk buruh asing, ia sekaligus dapat membantu pihak berkuasa menangani isu pendatang asing tanpa izin (PATI) serta buruh asing tanpa permit sah di negeri ini.

Lagi pun, katanya lagi, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang sebelum ini acapkali menerima pelbagai rungutan daripada warganegara mengenai ketenteraman awam membabitkan kawasan perumahan di beberapa kawasan tertentu ‘terganggu’ dek penempatan buruh asing secara tak terkawal.

“Penduduk setempat mestilah ada kesedaran bahawa (cadangan majikan menyediakan asrama pekerja) ini merupakan penyelesaian dan bukan suatu masalah.

“Kerajaan Persekutuan dan (Kerajaan) Negeri wajar mengambil langkah yang tegas untuk menyelesaikan masalah (penempatan) pekerja asing,” ujar Kon Yeow pada majlis perasmian pembukaan asrama pekerja dekat Bukit Minyak di sini hari ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo turut berucap pada majlis itu.

Hadir sama, barisan Exco Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri; dan Setiausaha Perbandaran bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Ir. Rosnani Mahmood.

Terdahulu, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Hal Ehwal Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi menyerahkan sijil siap projek kepada penyelia asrama, Westlite Accommodation yang dimiliki oleh syarikat swasta, Centurion Corporation Ltd (Centurion).

Difahamkan, asrama pekerja itu adalah terdiri oleh tiga blok rumah pangsa 11 tingkat yang dilengkapi pelbagai kemudahan seperti lif, gimnasium, ruang rekreasi dalaman, astaka makanan, pasar raya, kedai telefon bimbit, kemudahan internet, bilik solat, gelanggang futsal, gelanggang bola tampar dan gelanggang badminton.

Tiap-tiap unit rumah pangsa yang dijadikan asrama pekerja di sini terdiri daripada empat bilik, empat katil untuk tiap-tiap bilik, membawa jumlah keseluruhan katil di Westlite Accommodation adalah sebanyak 6,600 katil.

Kos pemajuan asrama pekerja itu adalah kira-kira 72.3 juta, yang mana kos sewaan kelak bakal ditanggung oleh majikan dan bukan pekerja.

Purata sewa katil bulanan di asrama itu adalah kira-kira RM130, dijangka untuk penempatan sulung kepada buruh asing pada akhir bulan Februari ini.

Dalam pada itu, Jagdeep menyatakan bahawa projek asrama pekerja tersebut akan menyusun semula buruh asing “di bawah satu bumbung penempatan”, ketika jumlah pekerja asing berdaftar di negeri ini adalah kira-kira 97,000 orang.

Menurut beliau, setakat ini, Kerajaan Negeri telah meluluskan pelaksanaan enam projek asrama pekerja lain, seperti Westlite Accommodation.

“Dua projek yang telahpun diluluskan di peringkat Kerajaan Negeri adalah di bahagian pulau, manakala bagi empat projek lain adalah di tanah besar Seberang Jaya.

“Enam asrama itu dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun,’’ jelasnya.

Bercakap kepada pemberita, Pengarah Urusan perniagaan penginapan Centurion, Tony Bin berkata, asrama terbaru mereka di Bukit Minyak adalah projek ketujuh dan yang pertama di luar Johor.

“Kadar purata penghunian asrama pekerja di negeri Johor adalah melebihi 90 peratus.

“Selepas bulan Februari ini, pihak kami menjangkakan daya huni di Westlite Accommodation juga mungkin akan mencapai hampir sama seperti di Johor,’’ ujarnya.

Dengan angka 6,600 katil di Westlite Accommodation, ia akan membawa kepada jumlah katil untuk penempatan asrama pekerja di seluruh negara mencecah hampir 30,300 unit.

Secara umum di Singapura, Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat adalah lebih 30 asrama pekerja dengan kapasiti penempatan lebih 61,000 katil.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD