Pertingkat interaksi KN dan pelajar berada luar negara

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

LONDONInteraksi kepimpinan negeri dengan rakyat Malaysia yang berada di luar negara, khususnya pelajar akan terus dipertingkatkan, kata Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan dialog bersama pelajar Malaysia di London Schools of Economics and Political Science, London di Clement House  untuk berkongsi pengalaman serta isu-isu semasa yang hangat diperkatakan dalam negara.

Mohd. Rashid yang juga Exco Pembangunan Industri Perdagangan Antarabangsa, Koperasi & Perhubungan Masyarakat dan Pembangunan Keusahawanan memberitahu, hubungan sedia ada akan diperkukuhkan agar rakyat Malaysia yang belajar atau bekerja di luar negara tidak ketinggalan mendapat maklumat yang telus mengenai perkembangan terbaru serta isu semasa di tanah air.

“Malah, dalam dialog yang dijalankan, selain menjelaskan situasi sebenar sosio-ekonomi dan politik Malaysia, turut ditekankan adalah kepentingan penyertaan golongan belia dalam pelbagai aspek terutamanya lapangan pentadbiran.

“Banyak yang diperkatakan antaranya, berkaitan prinsip Kerajaan Negeri dalam memartabatkan urus tadbir Cekap, Akauntabiliti dan Telus serta pencapaian Kerajaan NegeriPakatan Rakyat Pulau Pinang dalam tempoh lima tahun lalu sehinggakini,’’ jelasnya di sini baru-baru ini.

Turut serta bersama Mohd. Rashid adalah Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.

Dialog bertemakan ‘Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Rakyat’ itu dihadiri 35 pelajar Malaysia di sini.

Dalam pada itu, menurut Afif, pihaknya juga berkesempatan menyentuh soal pentingnya mengangkat idea kebebasan, sistem demokrasi dan reformasi bagi menjana pencerahan minda rakyat Malaysia.