Pertumbuhan ekonomi negeri lebih kukuh, Kon Yeow harap limpahan pelaburan dirasai rakyat dan peniaga

Admin

GEORGE TOWN – Ekonomi Pulau Pinang mencatatkan pertumbuhan lebih kukuh kira-kira 5.4 peratus pada suku ketiga 2019, berbanding 4.9 peratus pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi keseluruhan tahun sebelumnya.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menganggap persekitaran ekonomi Pulau Pinang ketika ini masih kukuh, sungguhpun negara kian mencabar dek situasi tak menentu pada peringkat pasaran global, susulan perang tarif antara Amerika Syarikat (AS) dan Republik Rakyat China yang berpanjangan.

“Walaupun suasana ekonomi sedunia menunjukkan amat mencabar, kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang) meneruskan usaha pembangunan di Pulau Pinang.

“Boleh dikatakan industri kita (di Pulau Pinang) dalam setahun (2019) adalah bagus, pelaburan baharu pun kian masuk ke Pulau Pinang.

“Dan, tahun ini, dalam setengah tahun (Januari hingga Jun 2019), kita telah capai RM9.8 bilion iaitu hampir dua kali ganda berbanding tahun (2018) sebelum ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Hamper Sempena Sambutan Deepavali anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kaum India Malaysia (MICCI) Pulau Pinang di Little India pada 24 Oktober 2019.

Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi berharap pertumbuhan ekonomi yang kian kukuh di Pulau Pinang diharap dapat diterjemahkan melalui penciptaan lebih banyak peluang kerjaya, selain membawa limpahan kemewahan kepada sektor perniagaan serta ekonomi rakyat secara keseluruhannya.

Sebelum itu, Presiden MICCI, Datuk N. Gobalakrishnan menzahirkan penghargaan atas komitmen Kon Yeow sejak tahun 2017 menyertai acara tanggungjawab sosial korporat (CSR) pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan menganjurkan program seumpama berkaitan.

Menurut beliau, MICCI sejak empat tahun lepas bukan sahaja mengagihkan hamper dan bantuan kewangan kepada komuniti penganut agama Hindu sempena Deepavali, bahkan juga meraikan golongan terpilih sempena sambutan Ramadan tiap-tiap tahun.

Pada lewat petang tadi, ulasnya, seramai 100 penerima terpilih diberi hamper berupa barang-barang dapur bernilai RM150 beserta ‘angpau raya Deepavali’ bernilai RM20 setiap seorang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar & Video : CHAN KOK KUAN