Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
GEORGE TOWN – Peningkatan ketara kadar kehadiran pelancong sejak tahun 2012 di negeri ini memperuntukkan pertumbuhan industri hotel yang baik dalam menyediakan lokasi-lokasi penginapan.
Kenyataan tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika menyempurnakan Majlis Topping-Off G Hotel Kelawei di sini baru-baru ini.
Jelasnya, mengikut perangkaan dikeluarkan Malaysia Airports Berhad (MAB), ketibaan pelancong melalui pesawat domestik pada Januari hingga Februari tahun ini adalah berjumlah 268,117 orang iaitu peningkatan sebanyak 33.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu (2013), 200,983.
“Bagi ketibaan pelancong asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), peningkatan turut dicatatkan sebanyak 8.23 peratus pada Januari hingga Februari tahun ini (2014) iaitu seramai 196,554 orang berbanding 181,613 (Januari hingga Februari 2013).
“Kadar penginapan hotel di sini turut memperlihatkan peningkatan sebanyak 64 peratus bagi tahun 2012 dan 67 peratus (2013). Turut dikhabarkan adalah pertumbuhan baik bagi tahun 2014,’’ ujarnya pada majlis berkenaan di sini.
Hadir sama, Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang dan Pengurus Besar G Hotel, Michael Hanratty.
Bangunan hotel baru 23 tingkat berharga RM200 juta tersebut bakal disiapkan pada suku ketiga tahun ini dengan panorama menarik di samping terletak di lokasi strategik iaitu berhampiran tempat pelancongan menarik dan pusat membeli-belah terkemuka.
Dalam pada itu, Hanratty menyatakan bahawa pembukaan bangunan baru terbabit merupakan batu loncatan kepada pihaknya yang membuka cawangan pertama di Persiaran Gurney pada tahun 2007.
“G Hotel bakal membuka lembaran baru dengan menyediakan 208 bilik, restoran bertaraf antarabangsa, lobi, pusat perniagaan, pusat kecergasan, kafe, kolam renang di puncak bangunan serta enam bilik pelbagai guna,” jelas beliau.