Perubahan wajah George Town demi penuhi aspirasi, tingkat mutu kehidupan

PADANG KOTA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap agar penganjuran program City Walk dapat menjadikan warga Pulau Pinang lebih mengenali wajah bandar raya George Town dengan lebih dekat.

 

 

Menurut beliau, wajah George Town sememangnya terdapat perubahan dari tahun ke tahun demi memenuhi aspirasi penduduk setempat.

 

 

“(Dan) kita harap perubahan ini adalah (perubahan) yang baik, dapat memenuhi aspirasi rakyat serta pembayar cukai dan seterusnya meningkatkan mutu kehidupan.

 

 

“Ini termasuk penyediaan kemudahan-kemudahan awam seperti pejalan kaki bagi memastikan persekitaran bandar raya dapat memainkan fungsi dalam memudahcara pergerakan orang ramai dan menjadikan bandar kita bandar yang selamat,” ujarnya dalam satu sidang media pada penganjuran Program City Walk Kali Ke-10 Sempena Sambutan Hari Bandaraya dekat Dewan Bandaraya, Padang Kota di sini pagi tadi.

 

Hadir sama, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Setiausaha Bandaraya MBPP; Ir. A. Rajendran dan Ahli-ahli Majlis bagi MBPP.

 

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa sejarah City Walk adalah merupakan kempen Kerajaan Negeri bersama-sama MBPP yang pada ketika itu menghantar permohonan kepada Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan status bandar raya bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sebelum ini.

 

 

“Akhirnya, Kerajaan Persekutuan membuat keputusan menganugerahkan status tersebut kepada MPPP. Maka, sejak tahun 2015, MPPP memperoleh status bandar raya dan ‘City Walk’ tetap disambung walaupun kempen itu sudah berakhir.

 

 

“Tarikh 1 Januari dipilih kerana ia adalah cuti umum, sama seperti MBSP (Majlis Bandaraya Seberang Perai), kita pilih 16 September cuti umum sempena sambutan Hari Malaysia, supaya kita tidak perlu mengambil cuti yang banyak untuk meraikan Hari Bandaraya,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota.

 

 

Tambah Kon Yeow, penganjuran program City Walk dalam normal baharu turut memperoleh kebenaran daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan mempraktikkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

 

 

Difahamkan, meskipun penganjuran kali ini adalah secara sederhana dan terhad kepada 1,000 peserta sahaja, namun ia dilihat masih meriah dengan kehadiran warga Pulau Pinang.

 

Penggunaan payung ketika berjalan digunakan sebagai satu kaedah penjarakan fizikal di antara peserta-peserta yang mengambil bahagian.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING

Video : DARWINA MOHD. DAUD