Peruntuk RM293.93 juta bagi kerja penyelenggaraan skim perumahan layak, Jagdeep

Admin

AIR ITAM – Sejak tahun 2008 sehingga 1 Mac 2022, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang telah membelanjakan sebanyak RM293.93 juta bagi 29,944 kerja-kerja penyelenggaraan di kesemua skim perumahan awam dan swasta di negeri ini.

 

Menurut Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo, sejumlah RM214.26 juta melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan di skim perumahan awam. 

 

“Manakala bagi skim perumahan di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sebanyak RM24.81 juta telah dibelanjakan; skim perumahan di bawah Majlis Bandaraya Seberang Perai (RM4.59 juta) dan skim perumahan swasta di bawah Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP, RM50.26 juta),” ujarnya pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Live pada 13 Mac 2022.

 

(Dari kiri); ‘AINUL Fadhilah Samsudi, Jagdeep Singh Deo dan Wong Hon Wai pada sidang media di sini pagi ini.

 

Turut serta, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai dan Pengurus Besar Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), ‘Ainul Fadhilah Samsudi.

 

Dalam sidang media sama, Jagdeep turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kerana meluluskan projek di bawah Program Penyelenggaraan Perumahan sebanyak RM1.82 juta membabitkan 10 kerja penyelenggaraan.

 

“Kita (Kerajaan Negeri) telah menerima surat kelulusan tersebut pada 10 Mac 2022 yang lalu.

 

“(Dan) daripada jumlah yang diterima, sebanyak RM1.19 juta melibatkan tujuh kerja penyelenggaraan di bawah LPNPP; MBPP (RM431,000, dua kerja penyelenggaraan) dan MBSP (RM200,000, satu kerja penyelenggaraan).

 

Peruntukan di bawah PPP ini merupakan kali ketiga diterima yang mana tahun 2020 sebanyak RM25.52 juta diterima dan RM4.47 juta (2021).

 

“Walau bagaimanapun, bagi tahun ini, Kerajaan Negeri telah mengemukakan permohonan sebanyak RM50.35 juta dan masih menunggu kelulusan pihak berkaitan,” jelasnya.

 

Mengulas lanjut, Jagdeep memaklumkan bahawa pihaknya juga masih menunggu kelulusan peruntukan di bawah Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) bagi skim perumahan swasta yang layak untuk tahun 2022.

 

“Permohonan telah dihantar melalui KPKT pada 29 Oktober 2021 dengan jumlah dimohon adalah RM84.41 juta,” katanya.

 

Terdahulu, Jagdeep hadir ke Rumah Pangsa Padang Tembak bagi mengumumkan kelulusan peruntukan pembangunan RM2.4 juta melibatkan empat kerja utama di skim perumahan tersebut.

 

JAGDEEP Singh Sep (dua dari kanan) bersama-sama Wong Hon Wai (tengah) dan wakil Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang di hadapan Rumah Pangsa Ladang Tembak dekat sini.

 

 

“Empat kerja tersebut adalah bagi pembaikan struktur bangunan di Blok A, B, C, D, F, G dan H; menggantikan paip retikulasi ke pam air di Blok J; pembaikan tebatan air di bumbung dan pendawaian semula lampu koridor di Blok F.

 

“Sebagai rekod, sehingga 31 Disember 2021 sejumlah RM17.90 juta telah dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri khusus di Rumah Pangsa Padang Tembak ini,” hurainya.

 

Rumah Pangsa Padang Tembak merupakan antara skim perumahan berstrata tertua di Pulau Pinang, berusia 53 tahun. Rumah pangsa ini mempunyai 3,736 unit kediaman dan 62 unit kedai.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : LAW SUUN TING