Peruntuk RM3.6 juta selenggara lif dan pendawaian tiga blok perumahan Taman Free School

Admin

DATUK KERAMAT – Kerja-kerja penggantian lif dan dan pendawaian di Blok L, M dan N Taman Free School dijangka bermula pada September ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, kerja-kerja penggantian lif di skim perumahan selian Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) itu dijangka menelan kos RM2 juta manakala bagi pendawaian pula RM1.6 juta.

“Lif yang sedia ada mampu memuatkan maksimum hanya empat orang pada satu-satu masa berbanding enam unit lif baharu bersaiz lebih besar dan mampu memuatkan seramai enam orang pada satu masa.

“Langkah ini boleh membantu meningkatkan jumlah penduduk yang dapat menggunakan lif pada satu-satu masa (12 orang berbanding empat orang sekarang) di samping dapat mengurangkan masa menunggu.

“Sejak tahun 2008 sehingga tahun depan (2021), MBPP dianggar membelanjakan jumlah keseluruhan sebanyak hampir RM9.22 juta bagi penyelenggaraan Skim Perumahan Awam MBPP di Taman Free School demi kebaikan dan keselesaan semua penghuni di sini,” ujarnya pada sidang media dekat Taman Free School, di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Nicholas Theng Jie Wey serta Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBPP Ir. A. Rajendran.

Dalam perkembangan lain, Jagdeep menyeru kepada Kerajaan Persekutuan supaya memberikan keutamaan kepada masalah yanh dihadapi oleh pembeli skim perumahan pertama terutamanya melibatkan kos rendah dan kos sederhana rendah.

Ia berikutan pengumuman kerajaan baru-baru ini mengenai pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah kediaman bernilai antara RM300,000 hingga RM2.5 juta, terhad kepada RM1 juta pertama nilai rumah kediaman manakala duti setem sepenuhnya diberikan ke atas perjanjian pinjaman.

“Persoalannya sekarang dalam permasalahan ekonomi akibat COVID-19 ini, Kerajaan (Pusat) perlu melihat permasalahan bagi pembelian rumah pertama meliputi kos rendah dan sederhana rendah yang mesti diberi keutamaan.

“Seperkara lagi, kita akan terus-menerus menggesa Kerajaan Pusat untuk meneliti isu penolakan pinjaman oleh pihak bank bagi memudahkan pemilikan rumah kali pertama,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Sejurus sidang media, Jagdeep turut menyampaikan pek barangan keperluan harian kepada penduduk setempat yang terjejas akibat pandemik COVID-19 melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI