GEORGE TOWN – Kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang daripada blok pembangkang masing-masing turut mendapat peruntukan khas sebanyak RM30,000 sebagaimana wakil rakyat blok Kerajaan untuk tujuan membantu rakyat yang terjejas hidup ketika mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian sebagai menjawab soalan Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Dato’ Mohamad Yusoff Mohd. Noor yang juga ADUN Sungai Dua sebelum ini.
Penjelasan itu sekaligus menjawab pertikaian ADUN Seberang Jaya yang mengaku bahawa peruntukannya turut disekat selepas melepaskan jawatan Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar & Kesihatan, hatta menyukarkan beliau membantu rakyat setempat mendepani pandemik COVID-19.
“Dakwaan segelintir Yang Berhormat Pembangkang bahawa peruntukan Kerajaan Negeri tidak disediakan untuk mereka memberi perkhidmatan kepada rakyat adalah tidak benar,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi pada tengah hari tadi.
Menurut beliau, peruntukan berjumlah RM1.2 juta telah disediakan dan diagihkan secara saksama kepada semua 40 ADUN Pulau Pinang tanpa mengira parti politik.
“Ini, menunjukkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam menggembleng tenaga untuk menghadapi krisis yang dialami dan memastikan rakyat mendapat bantuan dengan segera serta lancar tanpa menghiraukan latar belakang politik,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.
Tambah Kon Yeow, merujuk kepada empat ADUN yang telah menyertai Perikatan Nasional (PN), Kerajaan Negeri pada awal tahun telah menyediakan peruntukan pembangunan P16 berjumlah RM400,000 setiap seorang bagi Ahli MMK (Exco) dan RM300,000 setiap seorang untuk ADUN.
“Mengikut rekod, YB ADUN Seberang Jaya telah membelanjakan sebanyak 55 peratus daripada peruntukan tersebut; YB ADUN Sungai Acheh sebanyak 95 peratus; YB ADUN Bertam sebanyak 94 peratus dan YB ADUN Teluk Bahang sebanyak 38 peratus setakat pertengahan tahun ini.
“Walaupun peruntukan beberapa ADUN ini telah hampir habis dibelanjakan, namun, bagi memastikan kebajikan penduduk di KADUN terlibat tidak terjejas, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan tambahan berjumlah RM150,000 kepada ADUN Angkat untuk diuruskan,” ulasnya.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI