Peruntukan Islam era PR jauh lebih baik – Exco Agama

Admin
PERUNTUKAN Hal Ehwal Agama Islam (2008 - 2015).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 hingga kini meluluskan peruntukan agama Islam berdasarkan keperluan umat.

Malah, kata Abdul Malik, pihaknya turut meluluskan beberapa peruntukan tambahan yang dimohon Jabatan Mufti Pulau Pinang sendiri, sebelum ini.

Peruntukan yang dimaksudkan adalah program Cerapan Gerhana ‘Matahari Cincin’ pada tahun 2009 di Shenzhen, China dan di Holhule, Maldives pada bulan Januari 2010 yang masing-masing menelan belanja RM12,000 dan RM35,000.

Satu lagi peruntukan adalah program Cerapan Matahari Penuh di Caine, Australia pada bulan November 2012 yang menelan belanja RM49,000.

“Saya amat terkejut dan kesal apabila membaca kenyataan mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamed yang menggambarkan Islam terancam di Pulau Pinang, kononnya kerana pemimpin bukan Islam pun menuntut hak yang sama.

“Bagaimana Pulau Pinang boleh dikatakan susah meluluskan peruntukan untuk hal ehwal Islam, sedangkan saya sendiri meluluskan beberapa peruntukan tambahan khusus yang dipohon oleh Jabatan Mufti,” soalnya pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

Menurut Abdul Malik, peruntukan agama Islam yang diluluskan Kerajaan Negeri hari ini (Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat, PR) adalah jauh lebih baik berbanding era Barisan Nasional (BN) memerintah Pulau Pinang, dulu.

“Peruntukan hal ehwal agama Islam yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri dulu bagi tahun 2008 berjumlah RM25.49 juta, tetapi, sekarang kita (PR) luluskan RM35.78 juta bagi tahun 2009, 2010 (RM37.85 juta), 2011 (RM63.21 juta), 2012 (RM64.03 juta), 2013 (RM54.55 juta) dan 2014 (RM51.17 juta) (Rujuk lampiran 1).

PERUNTUKAN Hal Ehwal Agama Islam (2008 - 2015).
PERUNTUKAN Hal Ehwal Agama Islam (2008 – 2015).

“Sekolah Agama Rakyat (SAR) tidak pernah diberi sumbangan sewaktu BN memerintah Pulau Pinang, tetapi Kerajaan Negeri hari ini memberi peruntukan RM1.5 juta tiap-tiap tahun sejak 2008 hingga 2009. RM1.75 juta tiap-tiap tahun pada 2010 hingga 2014 ( lampiran 2),” jelas Abdul Malik yang juga Ahli Majlis bagi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

PERUNTUKAN khas SAR.
PERUNTUKAN khas SAR.

Itu, tidak termasuk peruntukan kepada huffaz atau para penghafal Al-Quran pada tahun 2008 berjumlah RM30,900, diikuti, RM65,000 (2009), RM90,000 (2010), RM130,000 (2011), RM175,000 (2012) dan RM202,500 (2013) (lampiran 3).

“Dulu tidak ada, tetapi Kerajaan Negeri hari ini memberi sumbangan Ihya’ Ramadan RM1,000 kepada lebih 200 masjid, RM5,000 kepada Masjid Negeri dan RM3,000 untuk masjid-masjid daerah.

“Kerajaan Negeri sejak tahun 2009 memperuntukkan melebihi RM500,000 tiap-tiap tahun sebagai bonus kepada guruguru KAFA (Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain), SAR, Maahad Tahfiz, TADIS (Tadika Islam) dan Pondok,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Bagan, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam satu Majlis Berbuka Puasa dan Ramah Mesra di Masjid Jamek Kubang Buaya baru-baru ini turut menyifatkan dakwaan Abdul Hamid berunsur fitnah.

PERUNTUKAN khas huffaz.
PERUNTUKAN khas huffaz.

Terdahulu, Abdul Hamid dilaporkan berkata Islam yang kononnya terancam di Pulau Pinang perlu dibendung supaya tidak merebak ke negeri-negeri lain.

Dakwaan itu, menurut Abdul Hamid adalah berdasarkan makluman mantan Mufti Pulau Pinang bahawa susah mendapat peruntukan untuk aktiviti agama Islam di negeri ini kerana pemimpin agama lain juga menuntut hak yang sama.