Peruntukan kepada JHEAIPP bukti Kerajaan Negeri martabat syiar Islam

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM21.48 juta untuk kegunaan Maksud Pembangunan di bawah P.13 – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP).

 

 

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, daripada jumlah peruntukan tersebut, sebanyak RM10.18 juta telah diluluskan untuk tujuan membina, menambah baik dan mengubah suai masjid serta surau di Pulau Pinang.

 

 

“Antara komitmen Kerajaan Negeri adalah bagi menjalankan projek bagi kerja-kerja membina semula bangunan Masjid Papan, Kampung Pertama, Seberang Perai Tengah; projek meroboh dan membina semula Masjid Jamek, Nurul Hidayah Sungai Lokan, Seberang Perai Utara dan kerja-kerja pembaikan pendawaian sistem elektrik Masjid Abdullah Fahim, Seberang Perai Utara.

 

 

 

“Projek masjid yang telah siap dibina pada tahun 2023 adalah seperti Masjid Jamek Sungai Puyu di Butterworth; Masjid Sungai Nibong Besar di Bayan Lepas; Masjid Taman Pelangi di Perai dan Masjid Jamek Perai dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM7.5 juta daripada Kerajaan Negeri.

 

 

 

“Peruntukan RM10.18 juta yang diluluskan bagi tahun 2024 ini turut merangkumi RM2.0 juta bagi menaik taraf masjid-masjid dan surau-surau uzur di seluruh Pulau Pinang yang mana usaha ini menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memartabatkan syiar Islam di negeri ini,” ujarnya semasa Pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Pembangunan 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pagi tadi.

 

 

 

Mengulas lanjut, maklum Kon Yeow, usaha memartabatkan syiar Islam dan pembangunan umatnya terus diperkasakan melalui JHEAIPP dengan penganjuran pelbagai majlis-majlis rasmi lain di peringkat negeri seperti sambutan Maal Hijrah, Maulidur-Rasul dan Festival Nasyid dengan peruntukan yang disalurkan Kerajaan Negeri berjumlah RM718,250.00.

 

 


“Kerajaan Negeri juga telah menjenamakan semula “Gagasan Khaira Ummah 2030” yang seiring dengan gagasan Visi Penang2030.

 

 


“Selaras dengan penjenamaan ini, Pusat Kajian Pemikiran dan Ketamadunan Islam Negeri Pulau Pinang, Al-Hady Centre (AHC) telah diilhamkan dan berfungsi sebagai pusat yang bertanggungjawab dalam mengintegrasikan pemikiran dan ketamadunan bagi tujuan penyelidikan dalam bidang Politik, Ekonomi, Sosial dan Sains & Teknologi (PEST) berdasarkan perspektif Islam.

 

 

“Tidak ketinggalan inisiatif mengembangkan pendidikan di sekolah-sekolah Islam yang merangkumi Sekolah Agama Rakyat (SAR), Kelas KAFA, Maahad Tahfiz, Pusat Tahfiz, Sekolah Rendah dan Menengah Tahfiz, pondok-pondok pengajian tradisional serta Sekolah Rendah dan Menengah Agama Rakyat di seluruh negeri Pulau Pinang turut diberi perhatian melibatkan siling peruntukan RM9.36 juta tidak termasuk RM1 juta memperbaiki sekolah uzur,” ujarnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SIEW CHIA EN