GEORGE TOWN – Peruntukan RM1.75 juta setiap tahun kepada sekolahsekolah Tamil dan tadika-tadika di sekolah Tamil (RM100,000) seluruh Pulau Pinang adalah bukti keprihatinan dan komitmen Kerajaan Negeri terhadap masyarakat India di negeri ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, tahun ini Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.75 juta untuk sekolah-sekolah Tamil; tadika-tadika di sekolah Tamil (RM100,000) dan Tabung Khas Jawatankuasa Sekolahsekolah Tamil (RM100,000).
“Menjadikan jumlah peruntukan sejak tahun 2009 adalah sebanyak RM17,166,000 kepada sekolah Tamil dan RM650,000 kepada tadika sejak 2012.
“Sementara itu, jumlah untuk Tabung Khas adalah sebanyak RM636,000 sejak 2012 menjadikan peruntukan besar berjumlah RM18,452,000 sehingga kini,” ucapnya pada Majlis Penyampaian Cek Bantuan Kewangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada Sekolah-sekolah Tamil dan Tadika di Sekolah Tamil 2018 di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan & Sumber Manusia, Sains dan Inovasi, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng dan Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. Rayer; ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; ADUN Bagan Dalam, A. Tanasekharan dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolah-sekolah Tamil, Datuk K. Anbalakan turut serta dalam majlis tersebut.
Menurut Guan Eng, melalui maklum balas yang diterimanya, peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri amat membantu terutama dalam pengurusan dan pelbagai penambahbaikan.
“Antaranya, pembinaan bilik darjah baru, membina makmal komputer, dewan terbuka, tandas, kemudahan bilik guru dan bilik guru besar serta membekalkan keperluan lain seperti infrastruktur kelas abad ke-21 untuk kegunaan sekolah.
“Ini termasuk penambahbaikan tadika-tadika di sekolah Tamil bagi membantu murid-murid mendapatkan pendidikan berkualiti dengan alat bantu mengajar yang sesuai serta mencukupi… dan semuanya adalah hasil komitmen Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya.