BUKIT GAMBIR – Kerajaan Negeri hari ini akan terus menyalurkan peruntukan tahunan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) sekitar Pulau Pinang, mengikut keperluan dari semasa ke semasa.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa merasmikan Persidangan Guru-Guru Bahasa Tamil Negeri Pulau Pinang Peringkat Antarabangsa 2024 yang dianjurkan di Institut Perguruan Guru (IPG) Kampus Pulau Pinang di sini pada 22 Disember 2024.
Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkenaan memberitahu bahawa Kerajaan Negeri hari ini berharap dengan peruntukan tahunan tersebut ia turut menyumbang kepada kemajuan pendidikan bahasa Tamil di negeri ini.
“Saya juga menekankan bahawa sokongan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) melalui peruntukan tahunan akan diteruskan setiap tahun.
“Saya percaya setelah hampir 15 tahun, program ini dilaksanakan, kita sudah dapat menyaksikan kemudahan-kemudahan asas di SJKT ini dipertingkatkan setahun demi setahun.
“Kita (Kerajaan Negeri) akan cuba berusaha (meningkat peruntukan tahunan kepada SJKT), tetapi peruntukan ini memang tidak dikurangkan, sekiranya tidak ditambahkan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Selain itu, beliau turut memuji Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo yang senantiasa berusaha memastikan peruntukan tahunan Kerajaan Negeri untuk SJKT ditingkatkan.
Sejak tahun 2023, difahamkan, Kerajaan Negeri menyampaikan peruntukan bantuan khas tahunan sejumlah RM2.39 juta kepada sekolah Tamil, tadika sekolah Tamil, sekolah Punjabi dan peruntukan Tabung Khas Jawatankuasa Sekolah Tamil.
Mengikut pecahan peruntukan, RM2 juta disumbangkan kepada 28 sekolah Tamil mengikut keperluan pembangunan masing-masing; 19 tadika sekolah Tamil (RM150,000), tiga sekolah Punjabi (RM90,000) dan baki RM150,000 lagi disalurkan kepada Tabung Khas Jawatankuasa Sekolah Tamil Negeri Pulau Pinang.
Selain peruntukan tahunan berwajib daripada Kerajaan Negeri, Kon Yeow memberitahu bahawa penganjuran persidangan seperti petang ini adalah penting dalam usaha memartabatkan bahasa Tamil pada peringkat global.
“Bahasa Tamil sememangnya bukan sekadar sebuah bahasa, tetapi ia adalah warisan yang kaya dengan nilai budaya, sejarah serta tradisi yang telah bertahan ribuan tahun.
“(Selain itu,) peranan guru-guru Bahasa Tamil adalah sangat penting untuk memastikan warisan ini terus dihargai, dipelajari dan diwariskan kepada generasi akan datang.
“(Sehubungan itu,) saya percaya persidangan ini merupakan platform yang amat signifikan kepada guru-guru untuk berkongsi idea, pengalaman serta inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran,” ulasnya lanjut.
Selari dengan aspirasi persidangan tersebut, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri hari ini sentiasa komited dalam mempelbagaikan serta mentransformasi bidang pendidikan selaras dengan keperluan pasaran global, dengan menekankan bidang pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).
“Benar, saya sering menekankan bidang pendidikan STEM, namun tidak dapat saya nafikan bahawa bahasa merupakan jiwa bangsa, dan pendidikan bahasa adalah intipati dalam pembentukan identiti anak bangsa,” katanya.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR