Perutusan Ketua Menteri Sempena Sambutan Perayaan Ulangtahun Kedua Penyenaraian George Town Sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 7 Julai 2010

Admin

Festival George Town Julung Kali Diadakan Untuk Mempromosi Kebudayaan Dan Warisan Negeri Pulau Pinang

BAGI menyambut perayaan ulangtahun kedua penyenaraian George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Pejabat Warisan Dunia George Town (PWDGT), Penang Global Tourism (PGT) dan pelbagai persatuan serta komuniti seluruh negeri Pulau Pinang bekerjasama bagi mempamerkan keindahan, keunikan dan kepelbagaian kebudayaan serta warisan Pulau Mutiara.

Sambutan perayaan Festival George Town yang berlangsung dalam tempoh masa sebulan bermula 1 Julai 2010 bakal melibatkan persembahan 80 program khas. Antaranya adalah persembahan teater, muzik, tarian klasik, tayangan filem, pameran seni, persembahan opera, hidangan makanan, pertunjukan fesyen, pameran fotografi dan dialog pertukaran kebudayaan. Dalam pada itu, festival ini dijangka menarik seramai 200,000 pengunjung.

Dalam memeriahkan sambutan sedia ada, pihak penganjur turut mengambil inisiatif untuk mengundang artis-artis terkenal tempatan dan antarabangsa seperti pengarah filem Puteri Gunung Ledang, Saw Teong Hin ; Ramli Ibrahim serta Sutra Dance Company ; penyanyi mahsyur Itali, Partizio Buanne dan pengarah persembahan opera Cina tersohor dari Beijing, Ghaffar Pourazar.

Sesungguhnya, Hari Monumen dan Tapak Antarabangsa (dikenali secara tidak formal sebagai Hari Warisan Dunia) diwujudkan pada 18 April 1982 oleh ICOMOS yang kemudian diluluskan di dalam Persidangan Agung UNESCO ke-22 pada tahun 1983. ‘Hari istimewa’ ini menyediakan peluang kepada masyarakat umum untuk meningkatkan tahap kesedaran terhadap kepelbagaian warisan dunia dan usaha yang diperlukan bagi melindungi, memelihara dan mempertahankan kepelbagaian ancaman yang bakal memberi kesan secara menyeluruh kepada aset berharga ini.

Justeru, marilah bersama memeriahkan sambutan perayaan jalanan seharian dengan kepelbagaian persembahan masyarakat berbilang kaum di negeri Pulau Pinang. Nikmati persembahan daripada artis-artis antarabangsa dan tempatan seperti Melayu, Cina, India, Burma, Thai, Punjabi dan ramai lagi dengan tambahan pertunjukkan permainan tradisional, makanan, kraftangan, tarian kebudayaan serta alatan muzik tradisional.

Selain warisan hidup, anda turut dijemput untuk mengunjungi bangunan-bangunan warisan di sekitar George Town. Semua lawatan ke lokasi-lokasi yang sebelum ini tidak pernah dibuka kepada orang ramai kini dipakejkan secara percuma sepanjang tempoh satu bulan sambutan ulangtahun ini. Terdapat 12 bangunan warisan seperti Dewan Bandaraya, Dewan Perbandaran, bangunan perumahan dan komersial terbaik di bandar. Pada masa sama, pelajari dengan lebih mendalam mengenai keunikan bangunan warisan di Pulau Pinang yang sebelum ini jarang diadakan.

Sebagai makluman, George Town merupakan sebuah bandar perdagangan yang menjadi pertembungan kepelbagaian budaya Timur dan Asia Tenggara. Faktor ini secara tidak langsung telah mempelbagaikan budaya tempatan seperti Melayu, Cina, India dan Eropah. Kesannya dapat dilihat pada rekabentuk bangunan, struktur bandar, teknologi dan seni bina yang ditonjolkan pada tempoh masa berkenaan.

Tidak dinafikan, bandar George Town turut memperlihatkan tahap pembangunan berbeza dan perubahan berikutnya menerusi tempoh masa yang panjang, kesemua faktor ini adalah saling lengkap-melengkapi. Umumnya, kepelbagaian dan keunikan dinyatakan ini dapat dibuktikan pada binaan bangunan kebudayaan, perumahan vernakular dan pola pemilikan hartanah tempatan. Setelah melalui satu peredaran zaman yang panjang, faktor-faktor ini telah mempengaruhi rakyat berbilang kaum yang kemudian telah mewujudkan budaya unik dengan kepelbagaian festival, makanan, pakaian, tradisi, bahasa dan juga struktur binaan.

Bagi melindungi, memelihara dan mempromosikan aspek warisan ketara dan tidak ketara bandar George Town, kerjasama antara masyarakat madani, pakar-pakar tempatan dan antarabangsa di dalam bidang pemuliharaan warisan adalah wajib khususnya berhubung sumbangan idea tindakan yang cekap serta berkesan pada aspek kos perbelanjaan. Selain badan berkepentingan, Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan pelabur swasta, usaha tersebut juga perlu membabitkan penglibatan masyarakat umum khususnya pada aspek khidmat nasihat mengenai pendekatan yang bakal dan wajar diambil dalam usaha untuk memaksimakan pelancongan warisan yang sekaligus membawa kebaikan kepada pemuliharaan warisan. Apa yang ditekankan di sini adalah model kerjasama antara sektor awam dan swasta secara menyeluruh.

Bagi membolehkan Kerajaan Negeri terus menjalankan kerja-kerja pemeliharaan, mempromosi dan melindungi warisan tempatan, enakmen sedia ada perlu terlebih dahulu digubal bagi memberi kuasa terus kepada pihak berkuasa tempatan meneruskan peranan dinyatakan. Pendekatan ini termasuk mewujudkan satu Tabung Warisan di mana Kerajaan Negeri berharap dapat menarik para penderma dari sektor awam mahupun swasta untuk membuat sumbangan bagi usaha pemuliharaan dan juga promosi. Sebagaimana dipraktikkan kini, hanya Pesuruhjaya Warisan di peringkat Persekutuan sahaja yang boleh mewartakan sesuatu lokasi sebagai tapak warisan setelah memperoleh kelulusan daripada Kerajaan Negeri. Justeru, kami berharap supaya satu enakmen yang bakal memberikan kuasa secara terus kepada pihak Kerajaan tempatan untuk mewartakan tapak warisan di negeri ini dapat diwujudkan pada tahun depan.

Lazimnya, kita perlu mengetahui sejarah lampau untuk memahami keadaan semasa dan meninjau masa depan kita. Pengiktirafan UNESCO terhadap George Town mengukuhkan fakta bahawa bandar ini bukan sahaja milik Pulau Pinang dan Malaysia, malah, turut menjadi milik komuniti antarabangsa dan seluruh dunia. Kini, adalah penting dan menjadi kewajipan kita untuk bersama menguruskan Tapak Warisan Dunia mengikut piawaian antarabangsa.

Sekian, terima kasih.

LIM GUAN ENG