BATU UBAN – Luluh hati apabila melihat keadaan seorang ibu kepada enam orang anak, NURJAHAN ABDUL LATIFF, 64, yang menghidap kanser esofagus tahap empat sejak hujung tahun 2020.
Baru-baru ini wartawan Buletin Mutiara telah menerima perkhabaran sedih mengenai pemergiannya tepat jam 9:45 pagi pada 27 Jun lalu. Salam takziah diucapkan kepada Noor Azlina sekeluarga.
Turut berdukacita mendengar khabar itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan yang bertindak menyalurkan bantuan kepada Nurjahan semasa hayatnya masih ada termasuk mendapatkan skim warga emas Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Terdahulu, difahamkan Nurjahan yang sebelum ini bekerja di sebuah kilang, giat mencari rezeki dengan turut mengasuh kanak-kanak di rumahnya setelah kilang tersebut tidak beroperasi.
Setelah jatuh sakit, anak ketiganya, NOOR AZLINA MD ISA, 34, mengambil alih menjaga Nurjahan yang terlantar dan tidak boleh bercakap kerana hidungnya dimasukkan tiub.
Oleh hal demikian, Noor Azlina yang juga pernah bekerja di sektor perkilangan mengambil keputusan berhenti kerja dek kerana menjaga ibunya sepenuh masa.
Keadaan menjadi lebih sukar apabila semua perbelanjaan harian kini hanya ditanggung oleh suami Noor Azlina yang hanya bekerja sebagai ‘dispatch’.
Sementara itu, Noor Azlina memberitahu bahawa pada peringkat awal diagnos, doktor tidak mengenal pasti sebarang penyakit kritikal yang dihadapi Nurjahan.
“Sebaliknya, doktor hanya menganggap mak (Nurjahan) mengalami gastrik walaupun hampir 10 buah klinik dikunjungi untuk menerima rawatan namun jawapan yang diberikan tetap sama.
“Bukan sahaja pendapat dari segi perubatan moden yang pernah kami cuba tetapi perubatan cara Islam juga pernah diikhtiar bagi mengetahui keadaan sebenar penyakit itu,” kata Noor Azlina.
Ekoran penyakit yang dialaminya, hari demi hari keadaan fizikal Nurjahan dilihat semakin lemah malah berat badannya juga susut sebanyak 55 kilogram (kg) selain mengalami muntah-muntah setiap kali mengambil makanan.
“Mak hanya boleh minum susu setiap hari bagi menambah tenaga dalam badannya kerana untuk makan makanan lain mak perlu menjalani pembedahan lain yang memerlukan kos sangat tinggi.
“Doktor yang merawat mak telah mencadangkan supaya kami meminta bantuan daripada Majlis Kanser Nasional (MAKNA) bagi mendapatkan bantuan yang sepatutnya,” luahnya lagi.
Simpati terhadap nasib yang menimpa Nurjahan, A. Kumaresan bertindak menyalurkan bantuan bagi meringankan beban yang dipikul terutamanya sewaktu pandemik ini.
“Antara bantuan yang disalurkan ialah wang tunai untuk perbelanjaan harian, bakul makanan dan juga lampin pakai buang untuk kegunaan dalam tempoh sebulan.
“Saya juga telah menghubungi pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Zakat Pulau Pinang bagi membantu keluarga ini untuk mendapatkan secara bulanan.
“Keluarga ini sememangnya memerlukan bantuan dari pelbagai aspek terutamanya sokongan,” ujarnya sewaktu melawat Nurjahan di Pinang Court 24 Jun lalu.
Di kesempatan itu, A. Kumaresan turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana memberi penambahan peruntukkan khas sebanyak RM20,000 kepada setiap ADUN untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
“Justeru, bagi mereka yang terjejas pendapatan sehingga tidak mampu membayar sewa rumah dan sebagainya bolehlah datang ke Pusat Khidmat DUN Batu Uban,” serunya.
Sebarang pertanyaan, sila hubungi atau Whatsapp Hotline Batu Uban di 017-277 0388.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI