Pesara polis sukarelawan berusia 101 tahun terima pingat TYT

KETUA Menteri (kanan sekali) diiringi Lim Siew Khim (berdiri, tiga dari kanan) dan Phee Boon Poh (berdiri, dua dari kanan) turut meluangkan masa menyantuni Ang Kim Choo (duduk di atas kerusi roda) di lobi Dewan Seri Pinang di sini pada 18 Oktober 2023.

GEORGE TOWN – Berusia 101 tahun, pesara Konstabel Khas (SC) wanita, Ang Kim Choo merupakan antara 72 individu yang tersenarai sebagai penerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada hari keempat dan terakhir Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-74 Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Dewan Seri Pinang sebentar tadi.

Seusai majlis berkaitan, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow diiringi Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; dan mantan Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Dato’ Seri Phee Boon Poh turut meluangkan masa menyantuni Kim Choo bersama-sama beberapa sanak saudaranya.

ANG Kim Chee

Kim Choo yang ditemui kemudian menzahirkan rasa bangga serta menganggap penganugerahan pingat tersebut sebagai suatu pengiktirafan atas perkhidmatannya sebagai anggota SC tidak terlatih selama ini.

“Saya berkhidmat sebagai SC dalam beberapa tahun sahaja – dalam lima atau enam tahun sahaja – selepas itu saya membuat kerja sendiri untuk keluarga.

“Pada waktu itu, tidak perlu ikuti latihan seperti hari ini juga mahu bekerja sebagai SC.

“Saya bertugas menjaga pergerakan ‘geng’ di sekolah dan kawasan tertentu di sini,” jelasnya semasa ditemui di lobi Dewan Seri Pinang di sini pada 18 Oktober 2023.

Buletin Mutiara difahamkan Kim Choo mula direkrut sebagai polis sukarela dalam era kolonial British bermula 1 April 1954 dan bersara pada 1 Jun 1960.

Sepanjang dalam perkhidmatan selama 6 tahun 2 bulan, beliau ditaklifkan untuk mengawal kawasan kejiranan serta kerja-kerja pemeriksaan sekitar kawasan hutan bukit bukau yang terdedah pada anasir gerakan gerila bersenjata komunis.

Berasal dari Kulim, Kedah; berhijrah ke Pulau Pinang lalu menyertai gerakan polis sukarelawan, baginya memang sesuatu yang mencabar, namun keberanian dalam diri membuatkan beliau nekad dalam perkhidmatan.

“Apabila keadaan negara kian stabil dan pasukan keselamatan negara memerlukan anggota yang lebih sedikit, saya mengambil keputusan untuk bersara,” jelas Kim Choo lagi.

Lahir pada 8 Oktober 1922, Kim Choo kini merupakan seorang balu dan mempunyai lima anak dan 12 orang cucu.

Terdahulu, seramai 274 individu disenaraikan menerima pelbagai darjah kebesaran dan pingat kehormatan daripada TYT iaitu empat penerima Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N) yang membawa gelaran Dato’ Seri; empat penerima Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (D.M.P.N) yang membawa gelaran Dato’; 14 penerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (D.S.P.N) yang membawa gelaran Dato’; 21 penerima Darjah Johan Negeri (D.J.N.); tiga penerima Bintang Cemerlang Negeri (B.C.N.); enam penerima Pingat Bakti Setia (P.B.S.); 41 penerima Pingat Kelakuan Terpuji (P.K.T); 72 penerima P.J.K.; dan 106 penerima Pingat Jasa Masyarakat (P.J.M.).

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & ALISSALA THIAN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS