Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
BAYAN LEPAS – Buat julung kalinya, Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) di sini melakar sejarah tersendiri apabila menerima pendaratan pesawat kargo terbesar, CX B747-8 Cathay Pacific Airways baru-baru ini.
Dengan pendaratan tersebut, ia sekaligus bakal menigkatkan kapasiti muatan kargo yang diangkut pada satu-satu masa dan juga produktiviti import serta eksport di negeri Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika hadir merasmikan detik bersejarah terbabit menyatakan bahawa ia (pendaratan) merupakan satu lagi rentetan sejarah kejayaan Pulau Pinang yang muncul sebagai jaguh pelaburan selama dua tahun berturut-turut ekoran pemilihan para pelabur untuk mengembangkan prospek perniagaan masing-masing di sini.
“Kedatangan B747 adalah tepat pada masanya dalam merancakkan kegiatan ekonomi Pulau Pinang di samping memenuhi keperluan logistik para pelabur yang berpusat di sini.
“Dalam pada itu, saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Cathay Pacific dan berharap perkhidmatan ini akan juga meningkatkan nilai tambahan bagi semua syarikat multinasional dan industri kecil sederhana untuk ‘terbang lebih tinggi’,” katanya pada sidang media sejurus selepas majlis perasmian di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Cathay Pacific Airways Limited Malaysia & Brunei, Mandy Wu menyatakan bahawa pihaknya amat berbesar hati kerana dapat mengembangkan perkhidmatan ke Pulau Pinang yang mana merupakan sebuah negeri terkenal dan sedang bergerak maju.
Beliau turut ditemani Pengurus Cathay Pacific Airways Limited Pulau Pinang, Cindy Tse.