Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
BATU UBAN – Seramai 150 peserta daripada 30,000 penyertaan awal acara larian tahunan bertaraf antarabangsa, Penang Bridge International Marathon (PBIM) 2014 berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik seperti percutiaan di atas kapal mewah dan lain-lain di sini.
Kenyataan tersebut dinyatakan Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang yang turut menyatakan bahawa inisiatif tersebut adalah sebagai tanda penghargaan dan juga bagi membuka peluang supaya lebih ramai peserta dapat memenangi hadiah menarik.
“Sejak tempoh penyertaan dibuka pada 20 hingga 27 Mac lalu, jumlah penyertaan dicatatkan adalah seramai 30,000 peserta.
“Justeru, sebagai menghargai penyertaan awal acara larian tersebut, sebanyak 150 nombor bertuah dipilih bagi menyeimbangkan pembahagian hadiah dengan jumlah penyertaan yang begitu ramai,’’ katanya pada Majlis Cabutan Nombor Bertuah Penyertaan Awal PBIM 2014 di sini baru-baru ini.
Antara syarikat-syarikat yang menaja hadiah-hadiah cabutan bertuah berkenaan adalah syarikat perkapalan, Starcruise, syarikat penerbangan, Firefly, China Airline, Thai Airways dan pakej penginapan di hotel-hotel terpilih.
Menurut Heng Kiang, pihaknya menyasarkan penyertaan seramai 75,000 peserta dan tahun ini, sasaran itu dilihat realistik memandangkan sehingga cabutan bertuah dibuat, sebanyak 50,000 penyertaan sudah diterima.
“Selain itu, tahun ini, acara terbabit juga akan dicatakan sebagai acara larian jambatan terpanjang di dunia ekoran lokasi penganjuran di Jambatan Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah,” tambah beliau.
Senarai nama-nama pemenang boleh disemak di laman sesawang, www.penangmarathon.gov.my.