GEORGE TOWN – Bagi peminat ‘Raja Buah’, jangan lepaskan peluang untuk menghadiri Pesta Durian Pulau Pinang 2019 pada 5 hingga 7 Julai ini bertempat di Tapak Ekspo Seberang Jaya.
Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, pelbagai aktiviti kekeluargaan yang berteraskan buah durian bakal diadakan sepanjang penganjuran tiga hari itu.
“Antaranya Pertandingan Durian Klon Terbaik 2019, Juara Antara Juara Durian Wilayah Utara, Pertandingan Durian Kampung Terbaik, Pertandingan Memasak Pengat Durian dan Jus Durian serta pelbagai lagi acara menarik.
“Tahun ini, Kerajaan Negeri mensasarkan seramai 50,000 pengunjung ‘membanjiri’ Tapak Ekspo Seberang Jaya termasuk pelancong asing,” ujarnya pada sidang media di Komtar, tengah hari ini.
Hadir sama, Pengarah Pertanian Negeri, Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Mohd. Muhaimin Ibrahim; Timbalan Pengarah JPNPP, Shahbani Ismail dan Penolong Setiausaha (Kesihatan, Pertanian & Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa), Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Abdul Hakim Nasharuddin.
Mengulas lanjut, Afif memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang berusaha mempromosikan buah durian tempatan sebagai ‘aset’ yang membawa pulangan ekonomi kepada negeri.
“Sayugia itu, sejak tahun 2018, Pesta Durian Pulau Pinang telah berjaya menjadikan Pulau Pinang sebagai hab buah durian terpenting yang menawarkan harga yang berpatutan serta rasa buahnya yang enak dan berkualiti tinggi.
“Sebut sahaja ‘musang king’, ‘hati merah’, ‘kapri’, ‘labu’, ‘udang merah’ dan ‘duri hitam’ semuanya terdapat di Pulau Pinang dan menjadi pilihan utama peminat ‘raja buah’,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.
Majlis Perasmian Pesta Durian Pulau Pinang 2019 bakal diadakan pada 7 Julai 2019 (Ahad) jam 3:00 petang bertempat di pentas utama, Tapak Ekspo Seberang Jaya.
Difahamkan, pada penganjuran kali ini, jamuan besar-besaran akan diadakan khas untuk pengunjung yang hadir sewaktu majlis perasmian.
Selain itu, harga buah durian mengikut pakej yang dijual sepanjang penganjuran pesta ini juga jauh lebih murah iaitu antara 5 hingga 20 peratus rendah daripada harga pasaran. Buah-buahan bermusim seperti cempedak, manggis dan rambutan turut dijual sepanjang penganjurannya.
Jom…pi Pesta Durian Pulau Pinang..!
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : ALISSALA THIAN