Pesta kebudayaan dan kesenian martabat warisan negeri landasan pengekalan perpaduan

Admin

BATU UBAN – Setelah dua tahun terikat dengan keterbatasan dalam pelaksanaan program ekoran pandemik COVID-19, Universiti Sains Malaysia (USM) kembali mengadakan Pesta Kebudayaan dan Kesenian 2022 sebentar tadi.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa penganjuran program tersebut dilihat sangat bertepatan dalam usaha menerapkan lagi nilai kesenian dan kebudayaan dalam negara.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, sudah tentunya kita amat mengalu-alukan penganjuran program sedemikian, yakni selari dengan usaha (Kerajaan Negeri) untuk memartabatkan peranan kesenian, kebudayaan serta juga memperkayakan warisan negeri.

“Pulau Pinang optimis mengorak langkah dalam menjadikan negeri ini sebagai hab kesenian dan kebudayaan unggul di rantau Asia menerusi pelbagai jalinan kerjasama dengan sektor awam serta swasta terutamanya golongan kreatif dalam mengetengahkan seni halus, kontemporari, moden dan tradisional,” katanya semasa merasmikan majlis berkenaan dekat Padang Kawad USM di sini.

KETUA Menteri bersama-sama barisan tetamu kehormat semasa merasmikan majlis berkaitan.

Hadir sama, Pengarah Dewan Budaya mewakili Naib Canselor USM, Ramnah Ramli; Timbalan Pengarah Pusat Media dan Perhubungan Awam, Tan Ewe Hoe; Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian Tionghua 2022, Sydney Lim Xin Ni serta Pengarah Projek Pesta Kebudayaan dan Kesenian Tionghua 2022, Ng Jun Ming.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut menyifatkan warisan budaya tradisional berkaitan perlu dipertahankan agar sentiasa diingati dan dihayati oleh masyarakat terutamanya golongan muda-mudi.

“Dengan penglibatan dan penyertaan para siswa serta siswi dari pelbagai latar belakang agama dan kepercayaan, program seperti ini berupaya menyediakan platform serta landasan terbaik dalam memupuk dan meningkatkan semangat toleransi, sekaligus mengekalkan perpaduan serta keharmonian sedia terjalin.

“Diharapkan Pesta Kebudayaan dan Kesenian ini dapat terus dilaksanakan untuk tahun-tahun yang akan datang, sekaligus meningkatkan kesedaran tentang betapa pentingnya untuk bersama-sama membina bangsa Malaysia yang cinta akan warisan seni budaya,” serunya sambil menekankan acara berkenaan mampu menghidupkan semula warisan kesenian Tionghua yang kian terhakis.

ANTARA acara menarik yang dipersembahkan serta sesi cabutan bertuah.

Buletin Mutiara difahamkan, program berkenaan turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan menarik serta acara cabutan bertuah.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : ALISSALA THIAN