Pesta P. Pinang 2012 mampu beri pulangan nilai kewangan

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

SUNGAI NIBONG – Majlis Perasmian Pesta Pulau Pinang Ke-46 di sini berlangsung meriah dan penuh warna-warni baru-baru ini dengan kehadiran beribu-ribu pengunjung dari dalam dan luar negeri.

Kemeriahan bertambah apabila Tuan Yang Terutama Negeri (TYT), Tun Abdul Rahman Abbas bersama isteri, Toh Puan Majimor Shariff turut berkenan merasmikan Pesta Pulau Pinang yang berlangsung selama sebulan bermula 1 Disember lalu hingga 1 Januari tahun depan dengan bertemakan, ‘Jom Pi Pesta’.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus, Pegawai Kewangan Negeri merangkap Pengerusi Penganjur Pesta Pulau Pinang, Datuk Mokhtar Mohd. Jait dan konsulat-konsulat antarabangsa daripada Indonesia, Thailand dan Sumatera turut hadir memeriahkan majlis.

Mansor ketika berucap berkata, Pesta Pulau Pinang adalah mekanisme terbaik untuk para peniaga kecil dan sederhana menjual barangan dan produk mereka.

“Terdapat hampir 167 gerai jualan disediakan terdiri daripada industri kecil dan sederhana (IKS), tekstil pakaian dan kiosk makanan. Turut dipamerkan adalah adat budaya masyarakat Sumatera, Indonesia dan Thailand.

 

“Lanjutan itu, para peniaga perlu mengambil peluang yang ada setahun sekali ini bagi menambah nilai barangan dan pendapatan masing-masing kerana Kerajaan Negeri sedayaupaya mempromosikan Pesta Pulau Pinang sebagai salah satu produk pelancongan negeri,” ujarnya pada Perasmian Pesta Pulau Pinang Ke-46 di Tapak Pesta Sungai Nibong di sini barubaru ini.

Tambah Mansor, bagi memantapkan penganjuran Pesta Pulau Pinang, Kerajaan Negeri memastikan bahawa penambahbaikan dijalankan setiap tahun.

“Seperti tahun ini, Pesta Pulau Pinang adalah lebih bertenaga, ceria, warna-warni dan diyakini mampu memberi pulangan nilai kewangan (value for money) kepada pengguna.

“Ini kerana, barangan yang ditawarkan adalah pada harga yang berpatutan,” ujarnya.

ANTARA tarikan Pesta Pulau Pinang 2012.
ANTARA tarikan Pesta Pulau Pinang 2012.

 

MANSOR Othman ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Pulau Pinang Ke-46 di sini baru-baru ini.
MANSOR Othman ketika berucap pada Majlis
Perasmian Pesta Pulau Pinang Ke-46 di sini
baru-baru ini.