GEORGE TOWN – Penganjuran Pesta Padi Pulau Pinang yang pernah menerima Anugerah Landskap Arkitek Malaysia (ILAM) akan kembali semula pada 15 hingga 17 Julai ini selepas dua tahun tertangguh akibat penularan COVID-19.
Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin berkata beberapa kelainan akan ditampilkan dalam program yang akan berlangsung di Laman Padi Jeti Kampung Terus dekat Penanti.
“Kali ini kita akan adakan pertandingan arca jerami padi yang terbuka kepada semua tetapi hanya 10 orang sahaja akan dipilih untuk dinilai sebagai pemenang.
“Jeramai atau arca padi yang dihasilkan mestilah mempunyai 3 meter (m) tinggi dan 3(m) lebar dan akan arca terbaik yang dipilih akan diletakkan secara kekal di Kampung Terus untuk membolehkan pengunjung mengambil gambar.
“Hadiah yang ditawarkan adalah berjumlah RM30,000 bagi pemenang Anugerah Ketua Menteri, Anugerah Emas (RM10,000), Anugerah Perak (8,000), Anugerah Gangsa (RM5,000) dan Anugerah Kreatif (RM5,000).
“Mereka yang menyertai pertandingan ini tidak perlu membawa jerami kerana ia akan dibekalkan oleh Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pulau Pinang,” jelasnya lanjut.
Turut hadir, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Sooh Hin serta Pengurus Besar George Town World Heritage Incorporated (GTWHI), Dr. Ang Ming Chee.
Norlela berkata, lebih istimewa apabila Kerajaan Negeri sebelum ini telah membina dua bot pelancongan baru di Kampung Terus yang dikendalikan oleh Koperasi Ibu Tunggal dan Wanita.
Malah katanya, penganjuran pesta berkenaan pada tahun ini adalah dengan kerjasama GTWHI yang turut menganjurkan George Town Festival pada 9 hingga 24 Julai ini.
“Oleh itu, kita harap mereka yang datang ke George Town Festival juga akan hadir ke Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang,” katanya lagi.
Difahamkan, idea penganjuran Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang dicetuskan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Law Choo Kiang yang bertujuan untuk menonjolkan kawasan sawah padi sebagai tanah warisan yang boleh dijadikan sebagai kawasan agropelancongan.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & AHMAD ADIL MUHAMAD