PERMATANG BERANGAN – Seramai 18 pelajar cemerlang diraikan dalam majlis yang diadakan serentak dengan sambutan Pesta Ponggal di sini baru-baru ini.
Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Permatang Berangan, Arshad Md. Salleh berkata, daripada jumlah tersebut, 14 pelajar adalah cemerlang Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) (2) dan berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di universiti tempatan (2).
“Turut disampaikan adalah set lengkap pasukan bola sepak, jersi dan bola kepada 18 pemain di sini,’’ katanya pada majlis berkenaan di sini.
Seramai 300 masyarakat berketurunan Hindu hadir di Dewan Mohamad Taib di sini.
Arshad memberitahu, sambutan Pesta Ponggal telah menjadi suatu acara rasmi tahunan di Tasek Gelugor di sini.
“Sememangnya sambutan Ponggal di sini sangat meriah dan penuh warna-warni dan tahun ini lebih bermakna apabila kita turut meraikan golongan belia yang bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran tetapi juga aktiviti kesukanan,” ujar beliau.