BAYAN LEPAS – Tahun 2025 berkemungkinan menyaksikan penganjuran edisi terakhir Pesta Pulau Pinang memandangkan Tapak Ekspo Sungai Nibong di sini terlibat dalam projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, Laluan Mutiara.
Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata semua pihak seharusnya melihat cadangan projek pembangunan rel awam moden darat tersebut sebagai satu langkah ke hadapan dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri yang lebih maju dan efisien.
Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Pesta Pulau Pinang 2024/2025 di sini sebentar tadi.
“Sebagai keluarga besar Pulau Pinang, semangat dan tujuan penganjuran Pesta Pulau Pinang tidak pernah pudar walaupun lokasi penganjuran tidak lagi sama (pada masa hadapan).
“Pesta Pulau Pinang bukan hanya sekadar mengenai lokasi, sebaliknya ia adalah gambaran keterbukaan masyarakat di negeri ini sebagai komuniti yang senantiasa meraikan nilai kekeluargaan, budaya, perpaduan serta inovasi,” jelasnya.
Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan itu lagi, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM4.5 juta bagi tujuan pengendalian cara pesta tahunan negeri tersebut.
“Peruntukan ini turut merangkumi kos operasi, penyelenggaraan dan pembaikan infrastruktur serta kerja-kerja penambahbaikan berkaitan,” jelasnya.
Yang Dipertua Negeri (TYT) Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dengan diiringi isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor hadir menyempurna acara perasmian, menambah lagi seri pada majlis pembukaan pesta pada malam ini.
Turut hadir, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Law Choo Kiang dan isteri, Datin Seri Teoh Hui Tuang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid dan isteri, Datin Noraini Abd. Jalil; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Zulkifli Long dan isteri, Datin Faziah Johari dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zabidah Safar.
Buletin Mutiara difahamkan, edisi ke-58 Pesta Pulau Pinang 2024/2025 yang bermula pada 21 Disember 2024 lepas akan berlangsung hingga 2 Februari depan.
Setakat 4 Januari 2025, pesta pada kali ini menerima lebih 150,000 pengunjung dengan jumlah kutipan tiket sebanyak RM745,840, dengan seramai 500,000 orang sasaran kehadiran pengunjung.
Pada sidang media selepas itu, Kon Yeow berkata MRT Corp selaku firma pelaksana projek LRT Laluan Mutiara memang ada cadangan untuk membina depoh di atas sebahagian tapak sedia ada Tapak Pesta Sungai Nibong.
“Pada peringkat ini, rundingan secara mendalam dan terperinci belum dimulakan, cuma dari konsep Tapak (Pesta Sungai Nibong) ini untuk (pembinaan) satu stesen (LRT Laluan Mutiara), serta satu cadangan pembinaan depoh sekunder bercampur dengan (projek) pembangunan berorientasikan transit (TOD).
“Kita (Pihak Berkuasa Negeri) masih belum sampai peringkat mencari tapak alternatif (bagi Tapak Pesta Sungai Nibong), tapi Pesta Pulau Pinang – seperti dalam ucapan – di sini tidak ada pesta… pesta di tapak lain boleh diteruskan,” jelasnya.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT