PANTAI JEREJAK – Pesta Pulau Pinang yang memasuki edisi ke-53 pada tahun ini sentiasa menawarkan kelainan bagi memenuhi citarasa pengunjung.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, kelainan yang ditampilkan bukan sahaja daripada segi nilai keceriaan tetapi juga melibatkan pengisian acara program, kepelbagaian perniagaan, makanan serta aktiviti sukan dan rekreasi yang mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan tanpa mengira peringkat umur.
“Selaras dengan Visi Penang2030: Negeri Pintar, Hijau dan Berteraskan Keluarga yang Menginspirasikan Negara, Pesta Pulau Pinang ternyata memenuhi aspirasi Kerajaan Negeri melalui penerapan konsep santai bersama-sama keluarga.
“Selain itu, program ini juga diwarnai dan disusun dengan kepelbagaian program serta aktiviti yang sekaligus menjadi jambatan dalam mengerat jalinan muhibah dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum bukan hanya di Pulau Pinang malah juga bagi seluruh wilayah utara Semenanjung,” ucapnya ketika merasmikan Pesta Pulau Pinang 2019 di sini sebentar tadi.
Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff hadir sebagai tetamu kehormat.
Turut hadir, barisan Exco Kerajaan Negeri; Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Sarul Bahiyah Abu; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Ir. Rozali Mohamud serta ramai lagi.
Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa Pesta Pulau Pinang mencatatkan kehadiran pengunjung seramai 494,175 pada tahun lalu dengan keuntungan sebanyak RM2.76 juta hasil jualan gerai serta tiket masuk.
“Justeru, Kerajaan Negeri berharap agar sambutan pada tahun ini lebih meriah dan menjana pulangan yang lebih tinggi.
“Tahniah dan syabas juga diucapkan kepada semua pihak terlibat khasnya Jabatan Kewangan Negeri yang berjaya memastikan Pesta Pulau Pinang kekal relevan dengan pelbagai pengisian dan penambaikan pada setiap tahun,” ujarnya.
Difahamkan, seramai 134 usahawan mengambil bahagian untuk menjual pelbagai produk serta penglibatan 25 unit trak kendera saji.
Pesta yang berlangsung mulai 1 hingga 31 Disember tersebut menyediakan 62 program merangkumi program bercorak kekeluargaan, sukan serta riadah selain persembahan kebudayaan dan hiburan pentas oleh artis terkenal tempatan.
Selain itu, ia turut menampilkan kelainan dengan memperkenalkan perkhidmatan e-Hailing kepada pengunjung melalui kod promo khas MyPenang dengan potongan RM2 bagi setiap perjalanan tanpa had setiap hari sepanjang pesta berlangsung.
Sebuah taman berkonsepkan Upcycle Park juga diwujudkan dengan kerjasama MBSP menggunakan barangan kitar semula seperti tayar, kayu pallet, botol plastik dan sebagainya bagi menambahkan lagi keceriaan kepada pengunjung.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI
Video : CHAN KOK KUAN