Pesta Sungai Antarabangsa 2.0 tonjol kelainan sukan kampung

Admin
img 20240715 wa0002

SEBERANG JAYASusulan kejayaan Pesta Sungai Antarabangsa pada tahun lepas, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Terus giat melaksanakan persediaan bagi sambutan Pesta Sungai Antarabangsa 2.0 yang bakal diadakan pada 29 September 2024 ini.

Menurut Setiausaha MPKK Kampung Terus, Mohd. Fathoni Hasnaani, terdapat pelbagai kelainan yang akan ditonjolkan pada sambutan yang akan berlangsung dalam tempoh terdekat ini.

Sebelum ini, pihak MPKK mengangkat aktiviti kebudayaan beragama sebagai salah satu aktiviti sukan bagi menampakkan nilai perpaduan dan kesatuan sehingga berjaya memenangi Anugerah Khas Sumber Air.

Justeru, untuk tahun ini pihak MPKK dan barisan penganjur ingin memaparkan kelainan dengan menganjurkan kejohanan bola sepak dalam bendang (bawah 16 tahun) yang mana kini telah mendapat 32 penyertaan dari sekolah-sekolah sekitar Seberang Perai Selatan (SPS).

“Selain itu, kejohanan acara larian sejauh 5 kilometer (km); memanah sambil berkayak; acara permainan tradisional; gotong-royong membersihkan sungai dan acara pelepasan benih ikan merupakan antara tarikan dan kelainan yang ingin (kami) ketengahkan.

“Sama juga seperti Pesta Padi Antarabangsa yang diadakan beberapa tahun lalu, kita berharap penganjuran (Pesta Sungai Antarabangsa) ini bakal menarik lebih ramai peserta untuk menikmati sendiri suasana di sekitar sungai di Jeti Kampung Terus, Penanti,” jelasnya semasa sesi sidang media sejurus Majlis Pelancaran Pesta Padi Antarabangsa 2.0 dekat sini.

Hadir sama, Pegawai Daerah SPS, Kamarul Haizal Koderat, Pengerusi MPKK Kampung Terus, Baharuddin Abdullah serta barisan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan penganjur.

e4e72e8f fd24 4bdb b8b3 67ecd6da5cd9
MOHD. Fathoni.

Mengulas lanjut, Mohd Fathoni turut memaklumkan bahawa penganjuran Pesta Sungai Antarabangsa diperlukan bagi mempertingkatkan lagi kesedaran umum akan kepentingan penjagaan sungai.

Pihak MPKK berhasrat untuk meningkatkan kesedaran melalui kempen penjagaan sungai serta kepentingan sungai terhadap pesawah dan pengguna domestik secara umumnya.

“Di samping itu, pihak MPKK juga sangat mengalu-alukan sumbangan dan tajaan dari mana-mana pihak bagi melaksanakan inisiatif berterusan ini bagi merealisasikan kesedaran masyarakat bukan sahaja di luar bandar, malahan juga bandar.

 

img 5111
BUTIRAN penyertaan.

“Bagi peserta yang ingin mendaftar, pautan mendaftar dan juga maklumat mengenai pembelian baju akan dihebahkan dalam tempoh terdekat bertarikh tutup pada 27 Ogos ini, setiap penyertaan juga berpeluang memperoleh token cabutan bertuah,” tambahnya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS