PENANTI – Pesta Sungai Pulau Pinang 2.0 yang diadakan di Kampung Terus pada 28 dan 29 September lalu antara lain bertujuan memupuk kesedaran mengenai kepentingan memelihara sungai sebagai nadi kehidupan.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, penganjuran Pesta Sungai Pulau Pinang 2.0 yang diadakan bersempena Hari Sungai Sedunia bukan sahaja untuk mempromosikan ekopelancongan tempatan malahan juga membangkitkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan memelihara sungai serta persekitarannya.
“Pelbagai aktiviti dan pertandingan telah disusun atur sepanjang dua hari penganjurannya, antaranya gotong-royong membersihkan sungai, mengecat semula dinding penahan dan balai lintang, memasak menu kampung serta menanam pokok kunang-kunang di kawasan sekitar.
“Bagi penggemar acara sukan, acara seperti larian ria, memanah, berkayak, berkuda, bola sepak, pelayaran sungai, permainan tradisional dan juga melepaskan benih ikan turut diadakan,” ujarnya ketika hadir pada penganjuran pesta berkaitan di sini baru-baru ini.
Hon Wai yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang senantiasa komited mencapai keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kelestarian lingkungan hidup.
“Sebagai Exco berwajib, saya akan terus memberikan sokongan terhadap inisiatif seumpama ini yang juga mempromosikan pelancongan hijau dan pembangunan lestari.
“Saya yakin, setiap Sungai di Pulau Pinang merupakan aset berharga dan perlu dipelihara untuk generasi akan datang selaras dengan Visi Penang2030 yakni mewujudkan ‘Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara’.
“Saya juga melihat bahawa penganjuran acara seperti ni menjadi wadah mempererat silaturahim dan pada masa sama memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
“Malah, pengunjung yang datang juga telah membuka peluang menjana pendapatan dalam kalangan nelayan dan petani setempat serta memberi nilai tambah kepada penduduk di Kampung Terus ini,” katanya.
Pesta Sungai Pulau Pinang 2.0 merupakan hasil inisiatif Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Terus dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah, Think City dan juga Pejabat MMK Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE) serta Penang Global Tourism.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : PETACE