Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar: MARK JAMES
PULAU TIKUS – Sebanyak 10,000 peta laluan perkhidmatan bas Rapid Penang Sdn. Bhd. (Rapid Penang) diedarkan dalam usaha mempromosikan Pulau Tikus sebagai lokasi pelancongan menarik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey berkata, peta laluan perkhidmatan bas atau lebih dikenali sebagai peta Pulau Tikus Loop akan diedarkan di sekitar sini termasuk pusat-pusat membeli-belah, kedai makanan serta minuman dan di beberapa lokasi tumpuan umum sekitar Pulau Pinang.
Jelasnya, peta laluan perkhidmatan bas terbaharu itu adalah bagi kemudahan orang ramai khususnya para pelancong sebagai panduan ketika melancong ke negeri ini.
“Pulau Tikus juga tidak kurang hebatnya kerana mempunyai beberapa tempat pelancongan menarik yang menggabungkan kepelbagaian budaya dan kepercayaan.
“Melalui peta ini, pengunjung tidak perlu bimbang untuk bergerak sama ada dalam kawasan Pulau Tikus mahupun di luar kawasan sini kerana ia menunjukkan secara terperinci laluan bas berserta nombor serta destinasi,” katanya sejurus selepas mengedarkan peta tersebut di beberapa buah kedai makanan dan minuman sekitar Jalan Cantonment di sini baru-baru ini.
Soo Huey memberitahu, risalah itu merupakan peta komprehensif pertama di Pulau Pinang dengan mengekalkan integriti bagi memastikan setiap laluan perkhidmatan bas dan produk-produk pelancongan di Pulau Tikus benarbenar wujud di tapak sebenar.