Petanda baik peningkatan aktiviti perdagangan 2015

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

 GEORGE TOWN – Sebanyak 72 acara melibatkan pelbagai aktiviti perdagangan dan perniagaan direncanakan dalam Penang Trade Events Calender sepanjang tahun 2014 nanti.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, peningkatan jumlah acara berbanding tahun lalu (hanya 62 acara) adalah petanda baik yang menjadi indikator perkembangan sektor perdagangan serta perniagaan di Pulau Pinang.

“Sejak dilancarkan pada tahun 2009, Kerajaan Negeri mendapat maklum balas yang positif dan kini setelah memasuki tahun keenam, kita dapat lihat peningkatan peserta dalam acaraacara perdagangan dan perniagaan di sini.

“Hal ini secara tidak langsung menunjukkan usaha dan komitmen semua pihak dalam memastikan keberkesanan setiap acara membuahkan hasil,” katanya pada sidang media di sini sejurus selepas Majlis Pelancaran Penang Trade Events Calender 2014 baru-baru ini.

Jelas beliau, implikasinya memperlihatkan permintaan yang semakin menggalakkan terutama daripada penganjur acara-acara perdagangan sehingga membolehkan Pulau Pinang menjadi salah satu destinasi MICE (mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran) untuk rantau Asia.

“Kita (Kerajaan Negeri) sedar potensi MICE dan telah meluluskan pembinaan pusat konvensyen yang baru iaitu sPICE (Subterranean Penang International Convention and Exhibition Centre) bagi memenuhi keperluan penganjuran aktiviti-aktiviti perdagangan serta perniagaan bukan sahaja di negeri ini, malah juga luar negara,” ujarnya yang turut melancarkan 4th Penang International MICE Conference 2014.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon yang mewakili Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Dalam perkembangan sama, Abdul Malik turut mengulas pembinaan projek mega The Light yang dibangunkan syarikat pembinaan, IJM Land Sdn. Bhd. yang dilihat mampu merangsang kerancakkan industri di Pulau Pinang.

“Ia merupakan perkembangan positif yang mampu menjadi nilai tambah dalam industri perdagangan negeri ini,’’ kata beliau.