PERTUKARAN BUDAYA… Penganjuran Festival Penang & Thailand 2019 (PETHA 2019) yang berlangsung dari 27 April hingga 1 Mei ini, menjadi medan terbaik untuk mempromosikan pertukaran budaya dan persefahaman di antara Pulau Pinang dan Thailand.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman berkata, inisiatif dirintis Kerajaan Negeri bersama Kerajaan Wilayah Songkhla, Thailand tersebut membuka peluang kepada warga negeri Pulau Pinang untuk mewujudkan peluang perniagaan dengan negara luar.
“Kita (Pulau Pinang) merasa gembira apabila terpilih sebagai lokasi pilihan penganjuran festival ini.
“Ia bukan saja menggalakkan pertukaran budaya dan persefahaman, pada masa sama orang ramai dapat menikmati kepelbagaian keenakan makanan dari dua budaya berbeza tanpa perlu melalui perjalanan jauh,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat.
Terdahulu, Ahmad Zakiyuddin hadir bagi menyempurnakan majlis perasmian festival berkenaan yang berlangsung di perkarangan tempat letak kereta, Queensbay Mall di sini semalam.
Turut serta Ketua Konsul Thailand Wilayah Songkla, Pawan Prompitak.
Antara kepelbagaian makanan yang dapat dinikmati pengunjung seperti ais krim bakar, somtam, tomyam, kambing bakar, miang kham, teh tarik viral, mango float dan macam-macam lagi.