Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
AIR ITAM – Peti surat berusia hampir 40 tahun yang karat dan tidak mampu dikunci di Flat Kampung Melayu di sini akhirnya diganti baru menerusi peruntukkan kira-kira RM110,000 di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) baru-baru ini.
Salah seorang penduduk, Sheikh Ismail Sheikh Daud, 69, berkata, peti surat yang usang dan rosak sebelum ini memudahkan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mencuri dokumen-dokumen penting milik para penghuni.
“Kami bersyukur dengan pemberian dan penukaran peti surat yang baru ini,’’ katanya ketika ditemui Buletin Mutiara pada Majlis Perasmian Lobi Lif dan Penyerahan Kunci Peti Surat Baru Blok A dan B Flat Kampung Melayu baru-baru ini di sini.
Sejak tahun 2008 (di bawah pemerintahan Kerajaan Negeri PR), inisiatif khas turut diambil bagi menaiktaraf lobi lif, mengecat semula bangunan blok A dan mewujudkan tapak permainan baru kepada kanak-kanak di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Air Itam, Wong Hon Wai berkata, Kerajaan Negeri mengambil berat dan serius dalam menjaga perihal dan kebajikan penduduk Kampung Melayu yang terdiri dari pelbagai bangsa.
“Kita (Kerajaan PR) berbangga dapat membuat pencapaian begini. Selepas empat tahun, inilah perubahan yang kita bawa setelah diberikan mandat memerintah Pulau Pinang,’’ ujarnya yang juga Exco Perancangan Bandar dan Desa, Perumahan dan Kesenian.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerja-kerja pengecatan blok B adalah hampir 80 peratus siap dan diharap masyarakat sekitar dapat melihat serta menilai segala perubahan yang telah dilakukan kerajaan PR,’’ jelas beliau.