GEORGE TOWN – Sejak 2008, seramai 6,695 penjawat awam dan petugas barisan hadapan telah ditawarkan rumah mampu milik melalui skim perumahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo memberitahu bahawa hampir 7,000 dalam kalangan penjawat awam dan petugas barisan hadapan di negeri ini yang telah dipilih serta ditawarkan unit rumah mampu milik.
“Petugas barisan hadapan yang juga merupakan penjawat awam merupakan antara kategori pemohon yang diberikan keutamaan dalam penawaran rumah mampu milik di Pulau Pinang,” ujarnya pada sidang media yang diadakan secara langsung menerusi platform Facebook sejurus mesyuarat pemilihan rumah mampu milik jenis kos rendah dan sederhana rendah di Komtar pagi ini.
Menurut beliau, melalui mesyuarat pemilihan bersama-sama Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) pagi ini, hampir 1,000 pemohonan pelbagai kategori rumah mampu milik telah disaring dan dipilih bagi penawaran.
Kita (LPNPP) akan memastikan mereka yang berkelayakan terpilih untuk ditawarkan rumah mampu milik.
“Perkara ini sejajar dengan Visi Penang2030 yang mana kita (Kerajaan Negeri) mensasarkan untuk menyediakan 220,000 unit rumah mampu milik.
“(Dan) sehingga hari ini, sejumlah 117,049 unit atau 53.2 peratus daripada jumlah sasaran telah berjaya dicapai,” katanya.
Sebagai rekod, sejajar dengan Visi Penang2030 dalam meningkatkan daya huni bagi menambah baik kualiti kehidupan rakyat, Kerajaan Negeri akan menangani isu kemampuan memiliki rumah dengan mempelbagaikan penawaran kategori perumahan kepada pemohon yang layak.
Dalam sidang media sama, Jagdeep turut bersetuju dengan keputusan yang dibuat melalui Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Jumaat lalu bagi memperketat prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini.
Malah, saya juga setuju dengan saranan untuk ‘self-lockdown’ (sekatan pergerakan kendiri) kerana kita perlu lebih tegas (bagi membendung penularan COVID0-19).
“Semalam, sebanyak 6,976 kes dicatatkan menjadikan ia rekod tertinggi dan bagi Pulau Pinang, jumlah kes semalam adalah kedua tertinggi (372) selepas mencatatkan 395 kes pada 13 Mei lalu.
“Selain itu, saya juga telah mengarahkan semua agensi penguat kuasa supaya lebih tegas dalam melakukan tugas pemantauan di lapangan,” katanya sambil menyeru agar semua rakyat di negeri terus mematuhi SOP PKP yang diperketatkan bagi membendung penularan di samping mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : CHAN KOK KUAN