PFC lancar jersi saingan Liga Super 2021

Admin

GEORGE TOWN – Pasukan Bola Sepak Penang FC (PFC) bakal menggunakan jersi jenama PUMA yang ditaja oleh Syarikat Active Sports Sdn. Bhd.

Perkara tersebut diumumkan oleh Ketua Menteri pada sidang media pelancaran jersi rasmi PFC bagi perlawanan gelanggang sendiri (home), gelanggang lawan (away) dan jersi ketiga dalam satu sidang media di Komtar  petang tadi.

Serentak itu, Kon Yeow memberitahu bahawa PFC juga masih meneliti serta dalam pertimbangan berhubung pemilihan beberapa syarikat penaja untuk dipamer serta diiklankan pada jersi yang menjadi kebanggaan rakyat Pulau Pinang umumnya kini.

“Nilai tajaan Platinum adalah bernilai RM1juta, Gold (RM750,000), Silver (RM500,000), Bronze (RM250,000) dan Partners (RM100,000),” jelasnya.


Pada majlis berkaitan juga, PFC memperkenalkan jersi biru tua bagi bermain di gelanggang sendiri, gelanggang lawan (putih) dan jersi ketiga (kuning).


Lebih bermakna, jersi kuning turut memaparkan ucapan ‘Thank You Frontliners’ sebagai menghargai komitmen barisan hadapan dalam usaha melawan pandemik COVID-19.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa PFC kini adalah bawah urus tadbir Penang Football Club Sdn. Bhd. (PFC SB).

Tambah beliau, langkah tersebut adalah bagi melicinkan proses peralihan tadbir urus PFC serta memastikan kesinambungan  pentadbiran syarikat bagi memajukan sukan bola sepak di Pulau Pinang.

“Kerajaan Negeri telah memutuskan supaya PFC SB diletakkan sebagai anak syarikat (GLC)  di bawah Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) .

“Keputusan tersebut dibuat bagi menjaga imej pasukan bola sepak PFC sebagai Liga Perdana 2020 yang perlu membuat pendaftaran penyertaan Liga Super Musim 2021 sebelum 12 Februari 2021 serta menjaga kebajikan pemain serta pegawai PFC.

“Penubuhan PFC SB adalah dianggotai oleh Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee sebagai Pengerusi dan ahli-ahlinya adalah terdiri daripada Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Dr. Mohamad Farazi Johari; Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Norazmi Mohd. Narawi; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Azhar Arshad dan Timbalan Pengurus Besar CMI, S. Barathi,” ulasnya lanjut.

Bagi menghargai sumbangan dan jasa mantan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah merangkap Lembaga Pengarah PFC SB terdahulu, Kon Yeow menyatakan bahawa beliau kini dilantik  sebagai Pengarah Eksekutif PFC SB berkuasa Februari 2021.

Difahamkan, PFC kini giat memberi fokus utama dalam latihan sebagai persediaan perlawanan pertama Liga Super Malaysia Musim 2021 yang akan menerima kunjungan Kuala Lumpur FC di Stadium Bandaraya pada 6 Mac ini jam 9 malam.

Pasukan PFC meletakkan sasaran enam teratas sebagai pendatang baharu dalam saingan Liga Super 2021.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

Video : AHMAD ADIL MUHAMAD