GEORGE TOWN – Dalam merealisasikan visi mentransformasikan Pulau Pinang menjadi sebuah negeri yang bertaraf antarabangsa yang bukan sahaja menjadi pilihan para pelabur malah turut menjadi destinasi pelancongan unggul, penubuhan Penang Green Council Strategics Sdn. Bhd. (PGC) adalah wajar dan selaras dengan misi Kerajaan Negeri menjadikan Pulau Pinang lebih hijau dan bersih.
Objektif penubuhan PGC adalah untuk menjalankan aktiviti dan merealisasikan perancangan ke arah Pulau Pinang lebih hijau dan bersih.
Malah penubuhan PGC juga dilihat sebagai salah sebuah platform untuk mengenal pasti, membincangkan serta mengadakan pembangunan penyelidikan dalam menzahirkan wawasan Kerajaan Negeri ke arah hijau dan bersih.
Dalam sidang media Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng baru-baru ini, beliau menyatakan bahawa pertandingan mencipta logo bagi PGC adalah untuk memberi ruang kepada kreativiti dalam menyertai serta berada seiringan dengan misi dan visi Pulau Pinang ke arah Pulau Pinang yang bersih dan hijau.
Malah ujar beliau, PGC bakal menjadi pemangkin ke arah menjadikan negeri Pulau Pinang lebih bersih dan hijau. Selain itu, PGC juga bakal diterajui oleh mereka yang sememangnya arif akan aspek-aspek perlu dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.
Bagi yang berminat untuk menyertainya silalah layari laman sesawang http://www.pgc. com.my bagi mendapatkan maklumat lanjut.