PGIGCE 2019 platform semua pihak berkongsi idea majukan agenda hijau Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Penang Green Council (PGC) sekali lagi bakal menganjurkan Penang International Green Conference and Exhibition 2019 (PGIGCE) pada 27 hingga 29 September ini.

Acara tahunan kali kesembilan tersebut akan berlangsung dekat Gurney Paragon Mall dan turut mendapat kerjasama daripada Persekutuan Bangunan Hijau Malaysia (MGBC) Bahagian Utara.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa acara tersebut merupakan platform untuk semua pihak berkongsi idea dalam memajukan agenda hijau di negeri ini.

“Tema acara pada tahun ini adalah ‘Penang Green and Smart City’ yang merupakan agenda dimulakan Pakatan Harapan sejak mengambil alih pentadbiran negeri dengan visi untuk membawa perubahan dan pembaharuan serta menuju ke arah negeri hijau.

“Kali ini kita terima kolaborasi daripada banyak pihak dan kita menghargai sumbangan mereka,” katanya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Lembaga Pengarah PGC, Dato’ Ar. Lawrence Lim Hua Kwang; Pengerusi Penganjur PGIGCE 2019 merangkap Pengarah PGC, Baylon Tham Wai Leong dan Pengurus Besar PGC, Josephine Tan Mei Ling.

Penganjur Bersama PGIGCE 2019 merangkap Ahli Majlis MGBC, Vincent Lim; Pengasas dan Penasihat Eksekutif Hunza Properties Berhad, Datuk Seri Khor Teng Tong serta Eksekutif Hunza Group, Khor San Leng turut hadir.

Justeru, Kon Yeow menyeru kepada generasi muda untuk tampil menyahut cabaran dalam membangunkan agenda hijau dengan menyertai acara tersebut.

“Kita berharap agar generasi muda sedar betapa pentingnya alam sekitar dan menyahut cabaran dengan memainkan peranan penting untuk memajukan lagi agenda hijau di Pulau Pinang.

“Oleh itu, semua lapisan masyarakat khususnya pelajar-pelajar sekolah dan universiti dialu-alukan mengambil bahagian dengan menyertai penganjuran acara pada tahun ini,” ujarnya.

Difahamkan, sebanyak 69 gerai pameran oleh pelbagai agensi kerajaan, pihak swasta, syarikat korporat termasuk komuniti akan dibuka sepanjang tiga hari proram berlangsung.

Turut akan berlangsung sempena penganjuran program berkenaan adalah MGBC Eco Power Run IV – I Green PENANG Run 2019 sejauh 5.1 kilometer pada 29 September, jam 7.30 pagi yang bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat dan hijau.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : LAW SUUN TING