GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) komited dalam memastikan keberkesanan kempen Penang Goes Orange 2023 (PGO2023) yang memasuki edisi ke-10 pada tahun ini.
Bertemakan “#SayaPrihatin: Hentikan Buli”, PGO2023 berhasrat untuk meningkatkan kesedaran tentang kesan jenayah buli secara fizikal dan juga siber yang semakin membimbangkan kini.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata bahawa bagi membanteras keganasan dan membendung isu buli, penganjuran kempen PGO pada tahun ini dilaksanakan secara meluas melibatkan sekolah-sekolah di serata negeri.
“Pada hari ini, kita bersolidariti beramai-ramai dengan berjalan kaki sejauh dua kilometer (km) untuk menunjukkan tanda sokongan untuk menghentikan jenayah buli bukan sahaja terhadap golongan wanita, malah juga pelajar-pelajar sekolah.
“Malah, program yang berlangsung hari ini turut diselitkan dengan pelbagai acara menarik dan juga menampilkan 70 buah gerai-gerai pameran membabitkan jabatan dan agensi kerajaan mahupun swasta,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Kempen PGO2023 dekat Padang Kota Lama pada 25 November 2023 baru-baru ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ali Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh; Timbalan Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying; barisan kepimpinan Kerajaan Negeri serta Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Dato’ Ong Bee Leng.
Mengulas lanjut, Siew Khim turut memaklumkan bahawa PWDC dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) akan berganding bahu untuk mengadakan aktiviti kesedaran di 126 buah sekolah di negeri ini.
“Selain itu, Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) dari 40 buah Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) akan menganjurkan kempen kesedaran pada peringkat komuniti,” tambahnya lagi.
Difahamkan, seramai lebih 3,000 peserta telah membanjiri Padang Kota Lama untuk bersolidariti beramai-ramai dengan berjalan kaki sejauh 2 km.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI