PERAI – Pakatan Harapan Pulau Pinang akan mengemukakan dua nama calon Ahli Dewan Negara dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 7 Mac ini, kata Pengerusinya, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Ketua Menteri.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan berkata bahawa hasrat itu adalah bagi mengisi kekosongan kerusi oleh dua penyandang Ahli Dewan Negara berkenaan iaitu Lim Hui Ying dan Fadhlina Sidek.
Tambah beliau, Fadhlina memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November tahun lepas bagi kawasan Parlimen Nibong Tebal dan dilantik menjadi Menteri Pelajaran, manakala Hui Ying yang memenangi kerusi Parlimen Tanjong dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan.
“Usul (bagi mengisi kekosongan dua Ahli Dewan Negara) itu akan dibentangkan pada hari Selasa (7 Mac 2023).
“Saya sebagai Pengerusi PH negeri, akan kemukakan dua nama iaitu calon Pakatan Harapan,” jelasnya yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri Pulau Pinang dalam sidang media berkaitan di sini pada 4 Mac 2023.
Menjawab soalan pemberita selepas itu, Kon Yeow memberitahu bahawa pentadbirannya tidak tahu sama ada parti-parti selain dalam komponen Pakatan Harapan turut akan menyerahkan nama calon Ahli Dewan Negara kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang atau tidak.
“Lain-lain calon dari parti lain, kita (PH) tak tahu,” responsnya.
Sebelum itu, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyempurnakan acara perasmian Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Kawasan Lapang berhampiran Taman Inderawasih dan Taman Kimsar di sini.
Turut serta, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga ADUN Perai; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad; Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Baderul Amin Abdul Wahab dan beberapa Ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD