PH akan masuk gelanggang PRU15 dan lawan habis-habisan – Kon Yeow

Admin

PANTAI JEREJAK – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menegaskan bahawa jentera PH harus bersiap sedia berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dijadualkan pada 19 November depan.

 

 

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menegaskan bahawa PH khususnya di negeri Pulau Pinang akan masuk gelanggang PRU15 dan lawan habis-habisan demi masa depan negara.

 

 

“Jadi, marilah kita tekad hadapi PRU15 ini sebab ia adalah (PRU) yang amat penting kerana setelah apa yang kita capai sejak reformasi pada tahun 1998, 1999 serta kemenangan pada 9 Mei 2018, kita tidak mahu lagi negara dipimpin oleh BN (Barisan Nasional) yang telah ‘menjahanamkan’ Malaysia melalui skandal-skandal rasuah dan telah menembusi setiap lapisan pentadbiran,” tegasnya pada Majlis Makan Malam Kutipan Dana Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang bertempat di SPICE Arena dekat sini malam ini.

 

Hadir sama, barisan kepimpinan PH Pulau Pinang; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Pulau Pinang, Nurul Izzah Anwar dan dif-dif jemputan yang lain.

 

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa setelah apa yang dilakukan oleh BN dan Perikatan Nasional (PN) terhadap negara, rakyat tidak seharusnya lagi memilih dua gabungan tersebut pada PRU akan datang.

 

 

Tegas beliau, walaupun musuh PH cuba memainkan sentimen kononnya 22 bulan pentadbiran PH gagal tunaikan beberapa janji, namun kejayaan PH dalam tempoh tersebut tidak boleh dinafikan.

 

 

“Selama 22 bulan, banyak dapat kita lakukan, bayangkan kalau bukan kerana PH, pemimpin rasuah tidak akan dipenjarakan dan dapat semula wang 1MDB.

 

 

“Kalau bukan PH, adakah undang-undang anti lompat parti dapat diluluskan?,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

 

 

Menyentuh mengenai kerusi Parlimen di Pulau Pinang, Kon Yeow berharap sekurang-kurangnya 11 kerusi yang dimenangi pada PRU14 pada tahun 2018 dapat dikekalkan.

 

 

“Kepada dua kerusi (tewas) Tasek Gelugor dan Kepala Batas, kita akan bagi sokongan padu agar ia juga mampu capai kemenangan.

 

 

“Kita mahu menjadi antara penyumbang kerusi Parlimen terbanyak seterusnya membentuk kerajaan (pusat) di Putrajaya,” serunya.

 

Anwar, Nurul Izzah dan Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik antara yang turut berucap pada majlis tersebut.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR

Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS