PH perlu berusaha tangani persepsi ‘kerajaan sepenggal’

GEORGE TOWN – Pakatan Harapan (PH) perlu berusaha dengan lebih gigih bagi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap dasar-dasar dilaksanakan oleh kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, sokongan rakyat jelata adalah amat penting dalam usaha menangani persepsi bahawa PH bakal menjadi kerajaan sepenggal sepertimana yang dimainkan oleh pihak-pihak tertentu.

Ketua Menteri bersama-sama tetamu jemputan khas menggaul ‘yee sang’ sempena Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina dekat Dewan Lee Si Chong Soo sebentar tadi.

“Kalau ada pihak yang menyebarkan pandangan bahawa PH cuma menjadi kerajaan sepenggal itu mungkin strategi dan taktik politik oleh parti-parti tertentu.

“Jadi untuk memastikan rakyat jelata menolak pandangan ini, maka kita (PH) ada banyak kerja untuk dilakukan kerana kita menjadi kerajaan disebabkan sokongan serta keputusan yang dibuat oleh rakyat dan pengundi.

“Tetapi saya percaya Kerajaan Persekutuan dan Negeri sedang berusaha berdamping dengan rakyat, mengotakan janji-janji yang dibuat serta membawa dasar-dasar yang boleh memanfaatkan mereka.

“Jika kita berjaya lakukan ini, saya percaya usaha pembangkang untuk menyebar dan menyemai persepsi ini (kerajaan sepenggal) dalam fikiran rakyat tidak akan berjaya,” ucapnya pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran beliau sendiri sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota dan Ahli Parlimen Tanjong dekat Dewan Lee Si Chong Soo di sini sebentar tadi.

Hadirin tidak melepaskan peluang berswafoto bersama-sama Ketua Menteri.

Turut hadir, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yeoh Soon Hin; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; ADUN-ADUN dan Ahli-ahli Parlimen; wakil-wakil parti gabungan PH; wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ramai lagi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menegaskan bahawa kerajaan PH perlu berani berdepan dengan pandangan dan reaksi rakyat dalam apa jua keputusan yang dilakukan.

“Apabila sesuatu dasar diputuskan maka akan timbul pelbagai reaksi kerana negara kita mengamalkan sistem demokrasi yang mana masih wujud parti-parti pembangkang yang mencari kesempatan untuk membangkitkan isu-isu sedemikian.

“Sebagai kerajaan kita perlu berani menghadapi pandangan atau reaksi rakyat supaya kita dapat mengambil tindakan bagi penambahbaikan terhadap segala kelemahan dalam keputusan telah kita buat,” ujarnya.

Terdahulu, kira-kira ribuan umum hadir memeriahkan majlis berkenaan yang turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan selain dijamu dengan pelbagai juadah menyelerakan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS